Pembantu penguatkuasa didakwa terima suapan hampir RM500,000

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM- Seorang Pembantu Penguatkuasa Kawal Selia Padi dan Beras, Selangor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga tuduhan menerima suapan hampir RM500,000 berhubung kuota beras SST, empat tahun lalu.

Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, Ibrahim Mat Amin sebagai pegawai badan awam menerima suapan RM468,000 daripada Pengarah Thai Hong Chan (KL) Sdn Bhd, Ter Thian Tin, sebagai upah telah membantu syarikat itu mendapatkan kouta beras ST 15 berjumlah 1,500 tan metrik bagi bulan Oktober, November dan Disember, 2015 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat itu di Seksyen U5, Shah Alam, dekat sini antara 9 November dan 10 Disember 2015.

Pendakwaaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Suffian Ja'afar mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan, bapa kepada 11 orang anak itu berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Mohamad Suffian mencadangkan jaminan RM150,000 bagi kesemua pertuduhan, namun Ibrahim merayu mahkamah mengurangkan jaminan.

"Kalau jumlah yang disebut itu, saya tidak mampu...

"Saya cuma ada RM15,000 sahaja," katanya yang tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Hakim, Rozilah Salleh membenarkan jaminan RM45,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 April depan untuk sebutan semula kes.