Lebih 115,000 kanak-kanak di Kelantan terima vaksin

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Kelantan bermula 14 Februari ini melibatkan lebih 115,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang berdaftar. - Gambar hiasan.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Kelantan bermula 14 Februari ini melibatkan lebih 115,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang berdaftar. - Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids) di Kelantan bermula 14 Februari ini melibatkan lebih 115,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang berdaftar.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata, daripada jumlah itu pihaknya menyasarkan 50 peratus iaitu 45,874 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer pada Februari ini.

"Setakat ini sebanyak 464 buah sekolah rendah telah dikenal pasti untuk dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) namun jumlah akan berubah dari semasa ke semasa mengikut keperluan sekiranya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bersetuju untuk membenarkan sekolah-sekolah terbabit digunakan sebagai PPV.

"Pihak JPN juga telah mengedarkan borang persetujuan untuk menerima vaksin kepada murid-murid sekolah dan penjaga dan sebahagiannya telah dikembalikan kepada pihak sekolah untuk tindakan selanjutnya oleh pihak kami," katanya ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Menurut Dr Zaini, bilangan yang berdaftar menerusi aplikasi MySejahtera tidak begitu ramai kerana kebanyakan kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun telah berdaftar dengan pihak sekolah.

"Oleh itu, kita sasarkan 80 peratus iaitu 91,748 kanak-kanak berusia tujuh hingga 11 tahun untuk menerima vaksin ini daripada jumlah keseluruhan murid-murid yang direkodkan iaitu 114,685 orang," katanya.

Dr Zaini berkata mengikut data Jabatan Perangkaan 2021, anggaran populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Kelantan adalah 168,023 orang.

PICKids adalah program vaksinasi kanak berusia lima hingga 11 tahun yang dilancarkan pada 3 Feb lepas menggunakan vaksin jenis Comirnaty keluaran PfizerBioNTech.

Artikel Berkaitan: