Set barangan basah bantu pelanggan berjimat

Set bernilai RM20 yang boleh diperoleh oleh pengguna.
Set bernilai RM20 yang boleh diperoleh oleh pengguna.
A
A
A

TEMERLOH - Inisiatif pasangan suami isteri dari Paya Luas di sini yang menawarkan jualan set barang basah untuk lauk harian mendapat permintaan menggalakkan daripada penduduk di daerah ini.

Iza Akma Zainudin, 43, dan suami, Rulsazmin Che Sharudin, 29, sebelum ini bekerja sebagai penyelia pengemasan masing-masing di Pulau Pinang dan NIlai pulang ke kampung kerana mahu menjaga ibu Iza Akma yang sedang sakit.

Menurut Iza Akma, mereka memulakan perniagaan pada Januari lalu selepas ibunya sembuh dan kini boleh menyediakan beberapa set lauk termasuk makanan laut bersama sayur-sayuran.

Iza Akma Zainudin
Iza Akma Zainudin

"Harga yang kami jual antara RM20 hingga RM60 yang dibuat secara penghantaran terus (COD) kepada pelanggan.

"Saya terfikir idea ini kerana ingin memberikan peluang kepada pengguna untuk mendapatkan barangan basah dalam satu set dengan pelbagai pilihan.

"Bukan semua orang mampu membeli dengan jumlah banyak. Cara ini boleh membantu pengguna yang dihimpit pelbagai kenaikan kos sara hidup," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Iza Akma berkata, sebagai peniaga kecil pelbagai usaha perlu dilakukan untuk terus bertahan termasuk membawa bayi lelaki mereka yang berusia tiga bulan bersama ketika bekerja.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengambil keputusan untuk berniaga dengan modal terhad supaya meneruskan kehidupan," ujarnya.

Dalam pada itu, ibu kepada lima cahaya mata tersebut mengakui modal terhad menyebabkan dia tidak dapat menawarkan set jualan dalam kuantiti lebih banyak.

Set bernilai RM50 terdiri pelbagai ikan dan makanan laut yang ditawarkan oleh Iza Akma.
Set bernilai RM50 terdiri pelbagai ikan dan makanan laut yang ditawarkan oleh Iza Akma.

"Saya hanya mampu menawarkan 30 set sehari walaupun keuntungan tidak besar tetapi saya bersyukur kerana dapat berbelanja mengikut keperluan.

"Cuma kami sedih kerana ada ada juga yang menipu tidak membayar harga jualan dan memberikan pelbagai alasan," akuinya.