Keringat dan pengorbanan atlet tiada tolok bandingnya

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk kepada Latif Romly dan Leong Mun Yee di Istana Negara baru-baru ini.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk kepada Latif Romly dan Leong Mun Yee di Istana Negara baru-baru ini.
A
A
A

SEKALUNG tahniah diucapkan kepada jaguh paralimpik, Datuk Mohd Latif Romly dan bekas ratu terjun negara, Datuk Leong Mun Yee atas penganugerahan yang diterima pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan di Istana Negara Selasa lalu.

Pingat Panglima Mahkota Wilayah (PMW) dengan gelaran Datuk buat kedua-dua figura itu boleh dianggap 'kejayaan' paling manis dalam karier mereka. Hakikatnya, ia menjadi bukti betapa segala kudrat dan keringat mereka selama ini dihargai.

Untuk rekod, Latif muncul atlet paralimpik pertama Malaysia yang berjaya membawa pulang pingat emas dalam dua temasya Sukan Paralimpik - edisi Rio 2018 dan Tokyo 2020 menerusi acara lompat jauh T20 (masalah pembelajaran).

Di Rio, atlet berusia 24 tahun itu mencipta sensasi apabila memecahkan tiga rekod dunia dalam tempoh sehari. Bermula catatan 7.47 meter (m) diikuti 7.54m sebelum menamatkan 'lompatan emas' dengan jarak 7.60m, sekali gus memadam rekod lama dunia miliknya, 7.35m.

Mun Yee yang kini mencecah usia 37 tahun pula boleh dikatakan sebagai antara atlet negara yang cemerlang sepanjang 27 tahun kariernya dalam sukan terjun apabila menyumbangkan 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa pada temasya Sukan SEA.

Lebih membanggakan apabila Mun Yee merupakan penerjun Malaysia pertama ketika bergandingan bersama Datuk Pandelela Rinong memenangi pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Kejohanan Dunia FINA 2019 di Rom, Itali.

Selain pernah meraih pingat Sukan Asia dan Sukan Komanwel, Mun Yee turut mencipta sejarah tersendiri apabila membuat penampilan dalam lima temasya Olimpik - bermula edisi Sydney 2000; Athens 2004; Beijing 2008, London 2012 dan Tokyo 2020.

Maka, tiada keraguan lagi Latif dan Mun Yee wajar dan berhak menerima pengiktirafan tertinggi itu atas apa yang telah mereka lakukan. Deretan kejayaan yang dicapai khususnya di pentas antarabangsa cukup menyerlahkan wibawa mereka sebagai atlet.

Artikel Berkaitan:

Apa yang dicapai Latif dan Mun Yee itu antara contoh terbaik dan boleh menjadi ikutan rakan-rakan seperjuangan mereka. Ia bukti tiada yang mustahil mampu dicapai berbekalkan semangat dan iltizam tinggi untuk berjaya.

Bagi seorang juara, tiada istilah mengalah dalam kamus perjuangan mereka. Setiap kali turun ke gelanggang pertandingan, hanya pingat yang menjadi buruan. Malah, mereka mahu setiap keringat yang tumpah diakhiri dengan kejayaan gemilang.

Tahun ini boleh dianggap tahun yang agak sibuk buat barisan atlet negara kerana bakal menghadapi tiga temasya sukan - tidak termasuk kejohanan antarabangsa lain, sekali gus menyaksikan mereka bakal berdepan dengan jadual padat.

Jika tiada sebarang pindaan tarikh pada saat-saat akhir, Sukan SEA Hanoi 2022 akan berlangsung dari 12 hingga 23 Mei diikuti Sukan Komanwel Birmingham (28 Julai hingga 8 Ogos) dan Sukan Asia Hangzhou (10 hingga 25 September).

'Tanpa' temasya paling berprestij di dunia - Sukan Olimpik mahupun Sukan Paralimpik, Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia boleh menjadi pentas terbaik bagi mengukur kemampuan kontinjen Malaysia sebelum 'menggegar' bumi Paris nanti.

Berbaki kira-kira dua tahun lagi, setiap atlet atlet harus menetapkan sasaran awal untuk membuat penampilan di pentas Olimpik mahupun Paralimpik Paris 2024. Persediaan harus bermula daripada sekarang dalam misi memburu kilauan emas.

Harus diingat, kejayaan tidak mudah datang menggolek. Sebelum menempa nama di puncak kemasyhuran, banyak yang perlu dikorbankan - baik dari segi masa, tenaga mahupun wang ringgit. Sampai masa, detik yang ditunggu pasti akan kunjung tiba.

* Azizul Fahmi Ahmad Zabidi ialah Editor Sukan Sinar