Sila log masuk terlebih dahulu.

Omicron kini varian dominan tunggal di Sarawak

Omicron kini disahkan telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di Sarawak.
Omicron kini disahkan telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di Sarawak.
A
A
A

KUCHING - Varian Covid-19, Omicron kini disahkan telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di Sarawak, kata Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr David Perera.

Menerusi laporan terkini kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Jumaat, beliau mendedahkan dari 20 Januari hingga 6 Februari lepas, sebanyak 77 sampel kes positif telah berjaya diproses.

"Kesemua sampel dikenal pasti sebagai varian Omicron yang menunjukkan bahawa kadar pengesanan 100 peratus (varian ini) di Sarawak.

"Ini membuktikan bahawa Omicron telah menggantikan Delta sepenuhnya sebagai varian tunggal yang dominan di negeri ini," katanya sambil menambah kes positif Omicron telah dikenal pasti di Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.

"Daripada sampel Omicron yang diproses, 71 dikenal pasti sebagai BA.1.1 dan tiga BA.1 manakala tiga lagi BA.2 yang mudah berjangkit (dikesan di Sibu, Miri dan Kuching),” katanya.

Susulan peningkatan kes dalam negara, Dr David yang juga ahli Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak turut menasihati individu yang belum mendapatkan dos penggalak agar segera berbuat demikian.

Beliau berkata, kajian menunjukkan bahawa suntikan dos penggalak diperlukan bagi meningkatkan tahap peneutralan antibodi yang menurun bagi melindungi diri daripada jangkitan Omicron.

Orang ramai turut diingatkan supaya terus mematuhi prosedur operasi standard kesihatan dengan ketat dan mengelakkan perhimpunan komuniti jika boleh untuk mencegah penularan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: