Ringgit ditutup rendah susulan pengukuhan dolar AS

Ringgit mengakhiri urus niaga pada Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar AS yang terus mengukuh. - Foto 123RF
Ringgit mengakhiri urus niaga pada Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar AS yang terus mengukuh. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit mengakhiri urus niaga pada Jumaat dengan lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang terus mengukuh susulan pengumuman data indeks harga pengguna (IHP) di negara maju tersebut, kata peniaga.

Pada jam 6 petang Jumaat, ringgit berada di paras 4.1885/1910 berbanding dolar AS daripada 4.1825/1840 pada akhir urus niaga semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit terus bergerak dalam jajaran kecil berbanding dolar AS hari ini dengan paras tertinggi pada RM4.1873 manakala rendah pada RM4.1898.

"Prestasi ini dicatatkan biarpun selepas pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku keempat 2021 yang meningkat 3.6 peratus berbanding unjuran ramai pada 3.1 peratus,” katanya kepada Bernama.

IHP AS mencecah 7.5 peratus tahun ke tahun pada Januari berbanding unjuran pada 7.3 peratus yang sebaliknya dilihat hanya mengukuhkan lagi kewajaran bagi kenaikan 50 mata asas kadar dana Persekutuan AS menerusi mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 15-16 Mac ini.

Sementara itu, Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata, data IHP AS itu menunjukkan kadar inflasi tertinggi bagi tempoh 31 tahun manakala data tuntutan pengangguran juga lebih rendah iaitu 223,000 berbanding unjuran sebanyak 230,000.

"Perkembangan ini lazimnya menyokong serta melonjakkan dolar AS kerana ini dapat memastikan bahawa pihak Rizab Persekutuan AS akan bertindak menaikkan kadar faedah pada mesyuarat Mac nanti,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Artikel Berkaitan:

Ia mengukuh berbanding yen Jepun pada 3.6089/6111 daripada 3.6118/6134 semalam dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1148/1169 daripada 3.1173/1187 sebelum ini.

Ringgit juga naik berbanding euro kepada 4.7686/7715 daripada 4.7865/7882 semalam namun susut berbanding pound Britain kepada 5.6783/6817 daripada 5.6761/6781. - Bernama