Sempadan negara tidak dibuka 1 Mac: PM

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

TANGKAK - Pembukaan sempadan negara bermula 1 Mac seperti disyorkan Majlis Pemulihan Negara (MPN) baru-baru ini tidak akan dilaksanakan kerana memerlukan penelitian beberapa perkara terlebih dahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara diumumkan MPN itu hanyalah cadangan dan ia perlu dibincangkan dalam kerajaan selain mendapat saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, perkara itu juga adalah bagi memastikan kesediaan negara untuk menerima pengunjung luar serta keupayaan kerajaan dalam mengatasi Covid-19 dan varian Omicron.

“Itu hanya cadangan MPN, ia perlu dibincangkan dan pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) boleh duduk sama dalam perbincangan ini.

Jika perlu mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) dan kabinet...kita akan bincang perkara ini.

“Cuma saya mahu maklumkan buat masa sekarang, tiada perbincangan lagi yang telah dibuat, itu hanya cadangan sahaja daripada MPN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir menyempurnakan Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri (tengah) beramah mesra bersama jenteran BN pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Ledang di sini pada Jumaat
Ismail Sabri (tengah) beramah mesra bersama jenteran BN pada Majlis Pelancaran Jentera BN Parlimen Ledang di sini pada Jumaat

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad.

Pada 8 Februari lalu mesyuarat MPN yang diadakan memutuskan keputusan untuk mencadangkan sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bagaimanapun ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara perlu dilakukan mengikut saranan KKM.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keutamaan kerajaan kini adalah untuk mengimbangi isu kesihatan serta keperluan pembukaan semula sempadan negara yang melibatkan pelancongan sebagai industri utama.

Beliau juga memaklumkan, pembukaan semula sempadan negara ada dalam perancangan kerajaan tetapi bukan dalam tempoh terdekat kerana kekangan beberapa faktor.

“Kita bukan hanya mahu bantu sektor pelancongan sahaja, tapi mahu menjaga rakyat sebab kita tidak mahu pelancong-pelancong datang membawa jangkitan. Itu lebih bahaya. Biar KKM buat kajian lebih terperinci.

“Walaupun perlu saya katakan yang akhir nanti ia (sempadan negara) perlu dibuka juga, kita akan pertimbangkan (pembukaan sempadan) kerana kita mahu mengimbangi industri pelancongan dengan kesihatan rakyat.

“KKM juga akan melakukan perancangan terperinci dan cadangkan kepada kabinet, cuma setakat ini sempadan masih ditutup dan belum ada perbincangan pun untuk kita buka sempadan,” katanya.