Keadaan ekonomi terburuk negara telah berakhir: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (dua dari kanan) berbual dengan Kon Yeow (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (dua dari kanan) berbual dengan Kon Yeow (dua dari kiri) ketika melakukan lawatan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - Keadaan ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dilihat akan berakhir setelah Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi keseluruhan 3.1 peratus bagi tahun lalu selain pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM50 bilion, lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pertumbuhan ekonomi keseluruhan sebanyak 3.1 peratus bagi tahun 2021, sejajar dengan sasaran yang ditetapkan antara 3 dan 4 peratus.

"Ia menunjukkan ekonomi kita meningkat selain menunjukkan bahawa ia adalah tahun pemulihan bagi kita. Kita melihat keyakinan pelabur terhadap negara apabila berjaya mencatatkan RM50 bilion dalam FDI bagi tahun lalu, jauh lebih tinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Momentum ini dijangka berterusan dan kita menjangkakan ekonomi negara akan terus berkembang antara 5.5 dan 6.5 peratus bagi tahun ini," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Komtar di sini pada Jumaat.

Turut hadir Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan beberapa pemimpin negeri lain.

Mengulas mengenai sama ada keadaan ekonomi terburuk negara telah berakhir dengan pertumbuhan ekonomi yang meningkat dan momentum FDI, beliau berkata, perkara itu dilihat optimis kerana sentimen pelabur yang menunjukkan ke arah prospek positif.

"Kita agak optimis kerana sentimen pelabur serta import dan eksport menghala ke arah prospek positif.

"Satu-satunya halangan adalah Omicron tetapi varian Covid-19 ini tidak berbahaya seperti varian Delta sebelum ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi terkini, beliau berkata, sekiranya terdapat sebarang perubahan, ia akan diumumkan bulan hadapan.

Sementara itu, mengulas mengenai bajet tambahan yang akan dibentangkan oleh kerajaan tahun ini, Tengku Zafrul berkata, ia akan dibentangkan apabila Parlimen bersidang nanti.

"Kita belum tahu lagi saiz bajet, namun apabila Parlimen bersidang, barulah kita akan bentangkan. Fokus kita adalah untuk memastikan ekonomi pulih dan membantu golongan yang terkesan seperti mangsa banjir dan peniaga.

"Perdana Menteri sendiri telah mengumumkan bantuan tambahan kepada mereka yang terjejas akibat banjir baru-baru ini serta petani dan usahawan mikro, kecil dan sederhana," katanya.