New Zealand usaha bantu mangsa terjejas

A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan New Zealand dan rakyatnya telah melakukan pelbagai usaha membantu mangsa yang terjejas akibat serangan pengganas di dua masjid di Christchurch Jumaat lalu, dengan memberikan sokongan serta kata-kata semangat, kata Pesuruhjaya Tinggi New Zealand ke Malaysia, Hunter Nottage.

"Fokus utama kami sekarang ialah untuk membantu mengurangkan kesedihan, memberikan sokongan serta semangat kepada mereka yang terkesan akibat tragedi itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada 15 Mac lalu, New Zealand digemparkan dengan insiden serangan pengganas di dua masjid iaitu Al Noor dan Linwood di Christchurch semasa solat Jumaat yang menyaksikan 50 nyawa terkorban dan lebih 40 lagi cedera.

Suruhanjaya Tinggi New Zealand di Kuala Lumpur turut menzahirkan ucapan takziah dan bersimpati kepada semua mangsa yang terjejas akibat serangan itu.

"Doa dan ingatan kami kepada rakyat Malaysia yang turut cedera dalam kejadian itu. Malaysia dan New Zealand berkongsi sejarah persahabatan sejak sekian lama begitu juga hubungan rakyat dengan rakyat," katanya.

Nottage berkata, negaranya juga terharu dengan sokongan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Kerajaan Malaysia serta rakan-rakan di Malaysia.

"Keselamatan dan sokongan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat sangat penting kepada New Zealand. Ahli keluarga yang ingin mengetahui maklumat terkini mengenai keluarga mereka boleh menghubungi polis New Zealand di talian 0800 115 019 (dalam negara) atau +64 3 353 4532 (di luar negara), "katanya.

Di samping itu, ujar Nottage pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington kini berada di Christchurch bersama Timbalan Ketua Setiausaha Jabatan Hal Ehwal Pelbagai Hala Kementerian Luar, Datuk Nadzirah Osman untuk memberi sokongan kepada mangsa dan keluarga mereka.

Menteri Luar Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah mengesahkan tiga rakyat Malaysia dilaporkan cedera dalam insiden itu dan seorang masih hilang.

Mereka yang cedera ialah Mohd Tarmizi Shuib, 46, dari Kedah; Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang; dan Mohd Nazril Hisham Omar, 46, dari Kelantan; manakala yang hilang ialah Mohd Haziq Mohd Shuib, 17.

Nottage turut menasihatkan rakyat Malaysia yang merancang untuk melancong ke New Zealand sentiasa mendapatkan maklumat terkini mengenai nasihat perjalanan dikeluarkan Kementerian Luar Malaysia.

"Difahamkan nasihat perjalanan tidak mengalami perubahan drastik ketika ini namun anda masih perlu terus menyemaknya.

"Terdapat peningkatan kehadiran polis khususnya di lokasi kejadian dan kawasan lain. Perkara itu akan berterusan selagi dilihat perlu. Pada ketika ini, keselamatan sangat penting, dan menjadi tumpuan utama New Zealand serta agensinya," katanya.

Beliau berkata tindakan pantas pihak berkuasa New Zealand berjaya menahan tiga suspek setakat ini, seorang daripadanya telah dihadapkan ke mahkamah pada Sabtu.

Dilaporkan suspek Brenton Tarrant, 28, kelahiran Australia, dituduh membunuh dan ditahan reman tanpa membuat pengakuan sehingga 5 April. Menurut polis tertuduh dijangka akan berdepan lebih banyak lagi pertuduhan selepas ini.

"Keganasan melampau ini tidak pernah berlaku dalam sejarah negara dan mengutuk sekeras-kerasnya pihak yang melakukan perbuatan itu," kata Nottage.

Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern turut mengecam serangan keganasan itu dan menyifatkan tindakan itu satu perbuatan yang langsung tidak boleh diterima akal.

Tragedi itu merupakan "hari paling malang buat New Zealand", ujar Ardern.- Bernama