Penerbangan KL-Tawau dilencongkan gara-gara ular dalam pesawat

Tular di media sosial video memaparkan kelibat ular dalam pesawat ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tawau dan pesawat dilencongkan ke Kuching, Sarawak.
Tular di media sosial video memaparkan kelibat ular dalam pesawat ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tawau dan pesawat dilencongkan ke Kuching, Sarawak.
A
A
A

KOTA KINABALU - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia mengesahkan pesawatnya yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Tawau terpaksa dilencongkan ke Kuching, Sarawak sebagai langkah berjaga-jaga demi keselamatan penumpang.

Ketua Pegawai Keselamatan AirAsia, Kapten Liong Tien Ling berkata, pihaknya menyedari berlaku insiden di dalam penerbangan terbabit pada Khamis.

"Sebaik kapten menyedarinya, beliau membuat keputusan untuk melencongkan pesawat ke Kuching sebagai langkah pembersihan pesawat.

"Insiden ini jarang berlaku pada mana-mana pesawat," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, Kapten kapal mengambil tindakan dengan sewajarnya sebelum penerbangan diteruskan ke Tawau supaya tiba dengan secepat mungkin.

"Keselamatan dan kesejahteraan penumpang serta kru sentiasa menjadi keutamaan kami," katanya.

Sebelum itu, tular satu video berdurasi 14 saat menunjukkan terdapat kelibat ular berada di dalam sebuah pesawat yang dipercayai dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Tawau.

Video yang tular di Tik Tok itu dimuat naik seorang pemilik akaun yang menyatakan bahawa pesawat terpaksa membuat pendaratan cemas di Kuching, Sarawak.

Artikel Berkaitan: