Runding bekal dron Kargu dengan ATM

Delegasi media Malaysia bersama pegawai tertinggi STM di ibu pejabat syarikat itu di Ankara.
Delegasi media Malaysia bersama pegawai tertinggi STM di ibu pejabat syarikat itu di Ankara.
A
A
A

ANKARA - [DIKEMAS KINI] Syarikat pengeluar dron Turki, Kejuruteraan Teknologi Pertahanan (STM) memaklumkan pihaknya telah melakukan rundingan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membekalkan dron taktikal jenis Kargu.

Pengurus Pembangunan Perniagaan STM, Fatih Ipek berkata, dron jenis itu digunakan oleh pasukan unit khas terutama bagi aktiviti risikan, pemantauan dan anti keganasan.

Menurutnya, setakat ini kepimpinan ATM menyatakan minat bagi memperoleh sistem tersebut untuk operasi di kawasan sempadan.

Pada masa sama, pihaknya turut menawarkan pemasangan Kargu di Malaysia sekiranya negara ini berminat mendapatkan aset tersebut.

Murat Ikinci
Murat Ikinci

"Sistem dron ini boleh dikendalikan untuk operasi siang dan malam serta mampu melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan peninjauan serta menjejak pengganas.

"Kargu juga boleh bergerak dan beroperasi sebagai 'kamikaze' ketika membuat serangan terhadap objek mahupun suspek pengganas yang dikesan.

"ATM telah menyatakan minat untuk memperoleh sistem Kargu dan kami telah membuat tawaran kepada kepimpinan tertinggi ATM.

Artikel Berkaitan:

"Rundingan telah diadakan untuk membekalkan Kargu," katanya kepada delegasi media Malaysia di Ankara.

STM merupakan salah satu syarikat dalam industri pertahanan Turki yang mengendalikan kejuruteraan sistem, pemindahan teknologi, sokongan teknikal dan logistik serta perkhidmatan perundingan berkaitan pertahanan di laut, siber, dron taktikal, radar, satelit, sistem arahan dan kawalan.

Ketika ini di Malaysia, sistem dron ATM tertumpu kepada operasi pemantauan dan kawalan di sempadan negara terutama membabitkan kawasan berbukit dan hutan.

Mengulas lanjut, Fatih berkata, dron Kargu sudah ditawarkan kepada tiga pelanggan antarabangsa.

Menurutnya, jika Malaysia memuktamadkan rundingan dan bersedia secara serius untuk mendapatkan produk tersebut, Malaysia akan menjadi pelanggan keempat di Asia Tenggara.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan tiga nama negara yang telah menggunakan dron keluaran syarikat itu.

Dalam lawatan delegasi media Malaysia selama tujuh hari di pusat pentadbiran kerajaan Turki di Ankara, kami telah dibawa ke ibu pejabat lima syarikat pengeluar aset tenteraan bagi industri pertahanan negara itu.

Lima syarikat itu adalah Turkish Aerospace bagi produk penerbangan, Aselsan (teknologi elektronik), Roketsan (peluru berpandu), Havelsan (perisian) dan STM (dron) selain kunjungan ke Jabatan Industri Pertahanan Turki (SSB).

Delegasi media diberi peluang melihat sendiri pengoperasian pembuatan pelbagai jenis aset ketenteraan di kilang berkenaan yang menggunakan sepenuhnya teknologi terkini dan kepakaran jurutera negara berkenaan.