Program NRW Kelantan secara berperingkat pertengahan tahun ini

Tuan Ibrahim (tengah) semasa sidang media di tapak projek NRW Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan di Pasir Tumboh pada Jumaat.
Tuan Ibrahim (tengah) semasa sidang media di tapak projek NRW Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan di Pasir Tumboh pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerja-kerja pembinaan Program Pengurangan Kadar Air Tidak Terhasil (NRW) Nasional (Pendekatan 1) negeri Kelantan di bawah Pakej Dua yang dijangka siap awal tahun depan, boleh mula beroperasi pertengahan tahun ini secara berperingkat.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pakej Dua melibatkan 53 penggantian dan pembaikan tangki di sekitar jajahan Kota Bahru, Tumpat, Machang, Jeli, Kuala Krai, Tanah Merah dan Gua Musang bakal meningkatkan kapasiti storan sebanyak 31.2 juta liter apabila siap sepenuhnya kelak.

Menurutnya, peningkatan kapasiti tersebut akan turut memanfaatkan 175,000 pengguna.

"Kerja-kerja tersebut sedang giat dilaksanakan dan kini hampir 37 peratus siap," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau sebelum itu mengadakan lawatan kerja ke NRW Nasional Pendekatan 1 negeri Kelantan di Pasir Tumboh, di sini.

Mengulas lanjut mengenai pelaksanaan program tersebut, Tuan Ibrahim berkata, ia melibatkan empat skop kerja utama iaitu penggantian dan pemasangan meter System Input Volume (SIV) dan penukaran meter pengguna, pembangunan Geographical Information System (GIS).

Katanya, selain itu ia melibatkan proses pembaikan serta menukar tangki-tangki lama yang rosak.

"Penukaran 56,000 meter air akan memberikan bacaan yang lebih tepat terhadap penggunaan air dan secara keseluruhan program itu akan meningkatkan keberkesanan sistem pengurusan dan kawalan NRW di negeri Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan: