Warga emas nafi terima rasuah RM60,000

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Seorang warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan menerima suapan RM60,000 berhubung kuota beras ST 15, empat tahun lalu.

Ab Ralim @ Mat Dehan Mat bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menerima wang tersebut daripada Pengarah Thai Hong Chan (KL) Sdn Bhd, Ter Thian Tin, sebagai upah telah membantu syarikat itu mendapatkan kouta beras ST 15 berjumlah 200 tan metrik bagi bulan September 2015 daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat syarikat itu di Seksyen U5, Shah Alam, dekat sini antara 9 September 2015.

Pendakwaaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Ab Ralim, 74, berdepan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika disabitkan dengan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Suffian Ja'afar mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin dan passport ditahan oleh mahkamah.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan memerintah passport diserahkan kepada mahkamah esok.

Artikel Berkaitan:

Kes disebut semula pada 17 April depan.

Mohamad Suffian ketika ditemui Sinar Harian berkata, pihaknya akan membuat pertuduhan lain berhubung kes sama terhadap Ab Ralim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Khamis ini.