Perihal hukuman mati

A
A
A

KERAJAAN hari ini bercadang menggantikan hukuman mati mandatori dengan hukuman mati atas budi bicara mahkamah bagi sembilan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan dua kesalahan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Biarpun pada Oktober tahun lalu, Kabinet telah memutuskan untuk memansuhkan pelaksanaan hukuman mati mandatori bagi semua kesalahan di negara ini serta telah menangguhkan pelaksanaan hukuman mati sehingga pemansuhan itu berkuat kuasa, tetapi kini pusingan-U telah dilakukan.

Ketika itu, Kabinet turut menimbang mengenakan hukuman penjara minimum 30 tahun jika hukuman mati mandatori dimansuhkan. Perlu difahami, terdapat perbezaan antara hukuman penjara seumur hidup dan seumur hayat. Hukuman penjara seumur hidup bermaksud hukuman penjara selama 20 tahun atau 30 tahun, manakala hukuman penjara seumur hayat pula bermaksud hukuman sepanjang hayat dan tiada tarikh bebas kecuali mendapat pengampunan atau peringanan hukuman daripada Yang di-Pertuan Agong, sultan atau Yang di-Pertua Negeri di mana kesalahan tersebut dilakukan.

Berdasarkan kepada pengumuman Kabinet baru-baru ini, kesalahan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952 (ADB) tidak pula diberikan pemansuhan hukuman mati mandatori. Pada masa ini seramai 1,267 banduan berdepan hukuman mati (banduan akhir) di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952, tetapi hukuman itu tidak dilaksanakan sejak 2014.

Langkah kerajaan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori adalah satu langkah yang baik. Sekurang-kurangnya mahkamah mempunyai budi bicara bagi memastikan tiada orang yang teraniaya yang dijatuhkan hukuman mati.

Sistem perundangan ini begitu teknikal sehingga kadangkala mahkamah terpaksa melihat kepada bukti-bukti yang dibawa kepada penilaian mahkamah. Namun, dalam banyak situasi, seseorang boleh berada pada nasib yang tidak baik dan bukti-bukti tersebut mungkin menjurus kepada beliau biarpun beliau tidak melakukan kesalahan tersebut. Contoh terbaik adalah isu keldai dadah yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan dadah.

Kini, dengan idea pemansuhan hukuman mati mandatori, mahkamah boleh menggunakan budi bicaranya untuk menjatuhkan hukuman mati. Ada kalanya, hukuman mati tidak berbaloi untuk dikenakan dengan situasi kesalahan yang dilakukan namun mahkamah tiada pilihan lain selain daripada menjatuhkan hukuman mati. Di sinilah aspek kemanusiaan dapat diaplikasikan oleh pihak mahkamah.

Bagaimanapun, apabila mahkamah diberikan kuasa budi bicara dalam menjatuhkan hukuman mati kelak, pihak kerajaan juga perlu berbincang dengan pihak kehakiman mengenai kriteria tertentu dalam menentukan sama ada seseorang pesalah itu wajar atau tidak dikenakan hukuman mati. Kriteria ini perlu jelas bagi memastikan tiada isu pilih kasih atau ketidakadilan yang bakal menjadi isu kelak.

Artikel Berkaitan:

Sebenarnya, dalam memansuh atau menggubal apa jua hukuman dan undang-undang terutamanya hukuman mati, kerajaan harus lebih bijak mengatur langkah dalam mendapatkan sokongan rakyat. Dan apa yang paling penting, kerajaan harus berusaha untuk mendidik rakyat mengenai perihal tersebut terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan penuh boleh dilakukan.

Begitu juga dengan perihal pemansuhan hukuman mati ini. Kerajaan harus berusaha untuk menyebarkan propaganda positif dalam kalangan rakyat untuk mendidik dan mempengaruhi mereka dalam memahami situasi sebenar tentang perihal hukuman mati ini. Isu-isu seperti mengapa ia perlu dimansuhkan harus dijadikan sebagai penjelasan utama dan meyakinkan.

Sebelum ini, terdapat beberapa forum berkaitan hukuman mati ini telah diadakan bagi mendapatkan penjelasan mengenainya. Banyak baik dan buruk mengenai pemansuhan hukuman mati yang telah dibincangkan, namun masih ramai yang tidak yakin dan terpengaruh dengan idea kenapa hukuman mati harus dimansuhkan. Inilah tugas berat kerajaan untuk mendidik dan meyakinkan rakyat!

Apa yang dapat dilihat dengan situasi kerajaan hari ini, mereka begitu komited dan beria mahu melaksanakan sesuatu perkara terutamanya melibatkan hal undang-undang, namun mereka masih gagal untuk menyemai pendidikan dan propaganda yang baik terhadap rakyat tentang sesuatu isu atau cadangan.

Mungkin kajian yang mendalam telah dilakukan tentang sesuatu isu, namun jika rakyat tidak dididik dan diyakinkan, ini akan merosakkan reputasi sesebuah kerajaan. Seandainya rakyat gagal dididik dengan baik tentang sesuatu isu, idea yang baik akan menjadi gagal kerana akan ditentang rakyat.

* Penulis merupakan seorang peguam