Penularan Covid-19 tuntut TH nilai semula pemberian bantuan haji

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Serangan virus Covid-19 yang merebak ke seluruh dunia sejak awal 2020 memberi kesan besar terhadap kehidupan masyarakat yang terpaksa mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan jangkitan.

Tidak terkecuali, pelaksanaan ibadah haji yang merupakan Rukun Islam kelima juga tertakluk kepada SOP dan norma baharu tersebut.

Hal ini sudah tentu membabitkan kos yang tinggi apabila banyak SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal, kapasiti bilik hotel dan bas, selain jumlah jemaah di Masjidil Haram juga dihadkan.

Dalam sidang medianya baru-baru ini, Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman menjelaskan peningkatan kos menunaikan haji tidak dapat dielak berikutan ada perbelanjaan tambahan membabitkan SOP norma baharu yang menyebabkan kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia serta Arab Saudi.

Berikutan kos yang semakin tinggi, timbul persoalan tentang kemampuan TH untuk bertahan, terutama dari sudut kewangan, dalam menampung pemberian bantuan haji kepada jemaah bagi memastikan kos yang ditanggung oleh mereka kekal rendah.

Rekod menunjukkan sebanyak RM2 bilion telah diberikan oleh TH kepada jemaah haji dalam bentuk bantuan kewangan sejak 2001

Pada 2019 misalnya, kerajaan memutuskan bayaran menunaikan haji bagi jemaah haji muassasah yang menunaikan ibadah itu buat kali pertama kekal pada RM9,980 seorang dengan TH menanggung bantuan haji sebanyak RM12,920.

Kos sebenar menunaikan haji pada tahun itu ialah RM22,900 berbanding RM22,450 pada musim sebelumnya. Malaysia tidak menghantar jemaah pada 2020 dan tahun ini susulan pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Kenaikan kos

Mengulas perkara itu, perunding kewangan bebas, Suzardi Maulan menyifatkan peningkatan kos menunaikan ibadah haji adalah realiti yang harus diterima semua pihak, terutamanya bakal jemaah haji.

Beliau berkata, sebagai institusi kewangan Islam terulung negara, TH perlu mengambil langkah bijak bagi memastikan kelangsungan operasinya berada pada tahap terbaik di saat berdepan isu kenaikan kos ibadah haji.

"Mana-mana pelaburan berpendapatan tetap, kalau kita tengok pada masa sekarang, mereka bagi kadar (pulangan) rendah dan ini realiti sekarang. Apa yang saya nampak, TH kena tetapkan mahu jadi apa, sebab TH ini unik kerana ia bukan seperti ASB (Amanah Saham Bumiputera) yang bertujuan memberi pulangan kepada pendeposit, TH berkongsi keuntungan serta tolong (urus) orang pergi haji.

"Jadi institusi kewangan Islam ini kena kemas kini dan menetapkan matlamatnya, sama ada mahu bantu orang pergi haji atau mahu bantu pendeposit dapat pulangan... keputusan ini pula mengambil kira keutamaan dari sudut high level,’’ katanya di sini.

Bagi memastikan kelangsungan TH, beliau berkata, pendekatan institusi itu harus berubah dan tidak boleh terikat dengan kehendak pelbagai pihak termasuk pelanggannya semata-mata.

Jelasnya, ini kerana situasi pada masa kini tidak sama seperti tahun 90-an yang menyaksikan TH pada waktu itu boleh memberi keuntungan yang tinggi kepada pendepositnya.

"TH sebagai institusi kewangan tertakluk kepada perubahan pasaran, iaitu ia tidak kebal terhadap risiko pasaran, (justeru) perlu terima (hakikat) situasi TH tidak sama seperti dahulu,’’ katanya.

Pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya Dr Mohd Zaidi Md Zabri juga melihat pelaksanaan SOP kesan daripada pandemik Covid-19 adalah antara faktor utama kenaikan kos mengerjakan ibadah haji.

Ini termasuk keperluan kuarantin, ujian untuk Covid-19 serta penjagaan kesihatan bakal jemaah, ulas beliau.

"Kerajaan Arab Saudi telah menaikkan cukai nilai tambah (VAT) kepada 15 peratus berbanding lima peratus sebelum ini, yang mana langkah ini turut memungkinkan kita berhadapan dengan kenaikan kos haji dan umrah.

"Kadar tukaran wang asing juga memainkan peranan yang signifikan terhadap kos haji, yang mana menurut Fitch Solutions Country Risk and Industry Research, prestasi mata wang ringgit bakal melemah pada 2022, justeru turut bakal meningkatkan kos pengurusan haji, ‘’ katanya.

Gambar hiasan
Gambar hiasan

Bantuan kepada golongan sasaran

Mohd Zaidi dalam pada itu menyokong saranan pelbagai pihak agar TH mengagihkan bantuan haji kepada warga emas dan golongan B40 bagi memberi peluang kepada mereka menunaikan ibadah haji.

Katanya, bantuan haji bersasar itu bertepatan dengan konsep ekonomi Islam, iaitu penekanan konsep ekuiti dan bukannya kesamarataan.

"Konsep asal TH iaitu inti pati idea penubuhan TH oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Aziz ialah demi membantu bakal haji menabung bagi menunaikan haji tanpa mendatangkan kesan negatif kepada kewangan dan ekonomi mereka.

"Justeru, sekiranya bakal-bakal haji yang mampu mengerjakan haji tanpa memberikan kesan negatif kepada kedudukan kewangan mereka, saya berpendapat bahawa golongan sedemikian tidak lagi perlu dibantu. Maknanya, jemaah haji daripada golongan T20 misalnya, haruslah mengerjakan haji dengan membayar pada harga penuh, atau dalam masa yang terdekat ini, menghampiri harga penuh,’’ katanya.

Sementara itu, Penolong Profesor Jabatan Kewangan, Kulliyyah Ekonomi dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Nur Hasnida Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan berlaku defisit kepercayaan terhadap TH sekiranya bantuan haji dihentikan tanpa strategi yang mapan.

Beliau berkata, langkah terbaik bagi menangani isu bantuan haji itu ialah dengan memohon Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bermuzakarah dan mengeluarkan fatwa mengenai bantuan daripada TH.

"Setiap musibah tentunya hadir dengan butir hikmah... kita perlukan penggemblengan usaha untuk memberikan pendidikan kewangan yang betul dan meluruskan kembali salah faham yang timbul asbab hibah yang luar biasa tinggi sebelum ini dengan memahami tujuan asal TH, yakni sebuah organisasi pengurusan haji yang terbilang.

"Kebanyakan pendeposit menyimpan di TH dengan niat utama menunaikan haji, pendeposit sebeginilah yang seharusnya menjadi tumpuan pendidikan kewangan yang lestari oleh TH,’’ katanya.

Nur Hasnida dalam pada itu mengingatkan TH agar mempergiat usaha membantu bakal jemaah haji menabung dengan tujuan menunaikan haji tanpa mendatangkan kesan negatif kepada kewangan dan ekonomi mereka.

"Kita juga perlu meluruskan kembali salah faham terhadap hukum kewajipan menunaikan haji kerana selama ini kefahaman kita terhadap konsep istito’ah atau kemampuan itu hanya terhad kepada aspek kesihatan dan daya upaya, tetapi tidak diberikan perhatian khusus terhadap kemampuan kewangan.

"Betapa selama ini juga kita telah ‘dimampukan’ melalui bantuan TH dan fenomena yang tidak sihat ini juga bakal memberikan impak negatif terhadap kelangsungan operasi TH,” katanya.- Bernama