Yatim piatu tahfiz buntu tiada MyKad

Muhammad Hairi Abdullah, 16, (tengah) bersama ibu saudaranya, Malkalthom Awang Besar, 44, dan sepupu, Hussin Salleh, 29, menunjukkan dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan bagi urusan membuat MyKad remaja itu.
Muhammad Hairi Abdullah, 16, (tengah) bersama ibu saudaranya, Malkalthom Awang Besar, 44, dan sepupu, Hussin Salleh, 29, menunjukkan dokumen-dokumen yang dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan bagi urusan membuat MyKad remaja itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang remaja yatim piatu juga pelajar sebuah sekolah tahfiz di Tunjong di sini berdepan kesulitan dalam melakukan pelbagai urusan rasmi berikutan tidak memiliki kad pengenalan atau MyKad walaupun usia sudah mencecah 16 tahun.

Lebih dibimbangi pelajar Maahad Tahfiz Misthul Huda itu, Muhammad Hairi Abdullah adalah nasib yang bakal dihadapinya pada masa depan akibat daripada masalah tidak mempunyai kad pengenalan tersebut.

Ibu saudaranya, Malkalthom Awang Besar, 44, berkata, anak saudaranya itu kematian ibu, Rokiyah Sajad Khan pada tahun 2009 dan bapa, Muhammad Hairi, Razak Awang Besar pula menyusuli arwah pada setahun kemudian.

Katanya, Muhammad Hairi ketika itu berusia tiga tahun dan terpaksa diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana Malkalthom kesempitan hidup serta tidak mampu menjaga anak saudaranya itu.

“Saya tidak bekerja manakala suami pula hanya mekanik dan pada masa sama kami mempunyai enam anak yang masih kecil.

“Jadi, Muhammad Hairi diserahkan kepada JKM agar kebaikannya terjaga dan apabila kewangan saya stabil kini saya mengambil untuk menjaganya seperti anak sendiri,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Maahad Tahfiz Misthul Huda di sini pada Khamis.

Ujarnya, urusan permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan Muhammad Hairi berdepan dengan kesukaran dan tidak diluluskan didakwa rentetan daripada pelbagai maklumat keluarga remaja itu yang dikatakan tidak lengkap selain arwah ibu bapanya dipercayai bernikah di negara jiran Thailand.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Hairi Abdullah, 16, menunjukkan MyKad miliknya dan kad pengenalan arwah ibu bapanya.
Muhammad Hairi Abdullah, 16, menunjukkan MyKad miliknya dan kad pengenalan arwah ibu bapanya.

“Pada pengetahuan saya, ibu bapa Muhammad Hairi tidak mendaftarkan perkahwinan mereka di negara ini walaupun kembali pulang dan tinggal di kampung asal ibunya itu di Kampung Anak Sungai, Pengkalan Chepa, Kota Bharu.

“Muhammad Hairi dilahirkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan mempunyai surat beranak berserta MyKid dengan berbinkan Abdullah selain tertera nombor kad pengenalannya pada MyKid terbabit tetapi gagal mendapatkan MyKad walau pelbagai cara sudah diusahakan,” katanya.

Kata Malkalthom, dia berharap pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Kelantan dapat membantu memudahkan urusan anak arwah abangnya itu kerana remaja itu sudah tidak mempunyai ibu bapa.

“Kami sudah berusaha untuk mendapatkan MyKad sejak empat tahun lalu dan usaha berdepan kekangan akibat pandemik Covid-19 serta sehingga kini masih belum berjaya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak ketika dihubungi berkata, perkara itu ada dalam makluman pihaknya dan sedang diteliti.

“Muhammad Hairi perlu hadir ke JPN bagi mengemukakan dokumen-dokumen yang berkaitan selain membawa waris dari belah ibu kandungnya bagi urusan itu,” katanya.