Tragedi Christchurch akibat Islamofobia

A
A

TRAGEDI pembunuhan kejam terhadap umat Islam ketika waktu solat Jumaat di dua masjid di Christchurch, New Zealand amat menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap ahli masyarakat yang tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak, tidak dapat diterima akal. Apatah lagi apabila pengganas itu turut merakam setiap tindakannya, seolah-olah ia satu permainan bagi dia dan sesuatu yang membanggakan.

Menurut laporan media rasmi New Zealand, sehingga artikel ini ditulis, insiden tembakan ke atas umat Islam di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood telah mengakibatkan 50 kematian dan puluhan lagi cedera serta masih dirawat di hospital. Insiden itu turut membabitkan tiga rakyat Malaysia yang tercedera termasuk seorang yang dalam keadaan kritikal.

Serangan ke atas Masjid Al Noor amat memberi kesan terhadap saya. Saya pernah menetap di Ranfurly Street, Saint Albans, kira-kira 3.3 km dari Masjid Al Noor yang terletak di Deans Avenue. Hampir empat tahun tinggal di sana, masjid tersebut selalu saya kunjungi untuk solat Jumaat dan juga terawih pada bulan Ramadan. Tragedi ini sesungguhnya sangat menyayat hati saya.

Saya masih boleh bayangkan setiap sudut di ruang masjid tersebut, seperti tempat rehat, tempat mengambil wuduk dan ruang solat. Malah, dua daripada tiga rakyat Malaysia yang cedera terkena tembakan tersebut merupakan sahabat yang saya kenali semasa tinggal di Christchurch dari 2007 hingga 2011.

Saya tidak sanggup melihat keseluruhan video yang telah tular itu kerana ia sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan. Malah, saya terus memadamnya daripada telefon bimbit.

Serangan di dua masjid tersebut jelas menggambarkan Islamofobia yang semakin menebal kini. Definisi kamus bagi kata kosa fobia adalah “ketakutan atau kebencian yang keterlaluan; ketakutan tidak rasional atau amat kuat dan benci terhadap sesuatu”.

Islamofobia merujuk kepada ketakutan tidak rasional atau amat benci terhadap Islam dan penganutnya. Istilah kontroversi ini menjadi popular selepas serangan 11 September 2001 di New York.

Pada 1997, Badan Amanah Runnymede mentakrifkan Islamofobia sebagai “rasa takut dan benci terhadap Islam lalu membawa kepada takut dan tidak suka kepada orang Islam”. Badan tersebut menyatakan ia juga merujuk kepada amalan mendiskriminasikan orang Islam dengan mengasingkan mereka daripada kegiatan ekonomi, sosial dan kehidupan masyarakat.

Susulan tragedi yang menyayat hati ini, umat Islam sekali lagi dilukai oleh kenyataan rasmi Senator Fraser Anning dari Australia yang menyalahkan program imigresen yang memudahkan umat Islam yang kononnya fanatik untuk berhijrah ke New Zealand, serta menuduh Islam sebagai agama yang mengajar keganasan.

Bukan sahaja tiada simpati, senator tersebut memilih untuk meniupkan prasangka dan kebencian terhadap Islam dan penganutnya. Kenyataannya amat rasis, tidak sensitif dan tidak wajar sama sekali.

Keganasan bukannya mewakili mana-mana agama. Jika pengganas berkenaan merupakan penganut Kristian yang taat, sudah pasti dia tidak akan melakukan perbuatan sadis tersebut. Tidak ada agama yang menyuruh penganutnya melakukan perbuatan kejam atau keganasan terhadap orang lain.

Pengganas yang didakwa di mahkamah Chrisrchurch itu sedikit pun tidak menunjukkan rasa kesal, malah telah membuat isyarat tangan yang menunjukkan simbol perkauman kuasa putih (white power).

Saya amat berharap tiada pihak yang membuat serangan balas pula ke atas mana-mana gereja atau tempat ibadat agama lain kerana itulah apa yang pengganas tersebut mahukan. Tindak balas dengan keganasan hanya akan mengakibatkan huru-hara yang tiada penghujungnya.

Saya kagum dengan mangsa pertama yang ditembak yang mengucapkan perkataan “Hello, Brother” untuk mengalu-alukan kedatangan pengganas bersenjata tersebut. Selepas ditembak dengan tiga das tembakan, ucapan terakhir beliau adalah “Brother” sebelum rebah dan meninggal dunia. Ini juga membuktikan Islam adalah agama keamanan dan beliau dianggap sebagai hero oleh beberapa media antarabangsa.

Semoga umat Islam di seluruh dunia dapat menunaikan ibadat dengan tenang tanpa rasa takut. Marilah kita semua berdoa agar mereka yang tercedera dalam tragedi Christchurch ini dikurniakan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan. Semoga ALLAH SWT mengampuni dosa semua mangsa juga, sama ada yang masih hidup atau terkorban, dan mengurniakan mereka pahala syahid.

*Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.