Lelaki disyaki belasah isteri direman

A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki direman empat hari bermula semalam selepas disyaki membelasah isterinya dengan topi keledar, dalam kejadian di Gong Badak, Kuala Nerus, pada 28 Februari lalu.

Suspek berusia 37 tahun itu berjaya diberkas dalam 'Ops Cantas' di sebuah rumah di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus, kira-kira jam 1.20 pagi, semalam.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan terhadap mangsa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 malam itu, mangsa berusia 33 tahun bukan hanya dibelasah dengan topi keledar tetapi turut terjatuh dari motosikal ditunggangnya.

Suspek dipercayai bertindak sedemikian selepas marah mangsa keluar membeli barang keperluan anak mereka tanpa kebenarannya.

Bagaimanapun difahamkan, sebelum kejadian itu, mangsa ada meminta izin daripada suspek untuk keluar membeli barang anak-anak mereka.

Tetapi suspek tidak mengizinkan mangsa keluar tanpa kebenaran tanpa sebarang alasan.

Mangsa kemudian mengambil keputusan pergi bersama ibunya kerana mahu memenuhi permintaan anak-anak mereka.

Suspek dikatakan mengekori mangsa dan sebaik tiba di lokasi, suspek menarik tudung mangsa menyebabkan wanita itu gagal mengawal motosikal lalu terbabas di bahu jalan.

Suspek seterusnya mengambil topi keledar dipakainya lalu menghentak kepala mangsa sebelum wanita itu membuat laporan di Balai Polis Gong Badak, Kuala Nerus untuk tindakan lanjut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia