Penang FC enggan panjangkan isu insiden gaduh

Penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi (enam dari kanan) menenangkan rakannya, Adib Raop (tujuh dari kanan) yang cedera di muka pada hidung ketika suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. - Foto Bernama
Penjaga gol Penang FC, Shafiq Afifi Suhaimi (enam dari kanan) menenangkan rakannya, Adib Raop (tujuh dari kanan) yang cedera di muka pada hidung ketika suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KEPUTUSAN Penang FC memberikan kemenangan kepada Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi terakhir Piala Menteri Besar Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada Rabu atas dasar semangat kesukanan.

Menurut jurucakap Penang FC, keputusan itu dibuat kerana pihak pengurusan skuad Harimau Kumbang tidak mahu memanjangkan lagi isu insiden pergaduhan yang berlaku antara kedua-dua pasukan.

“Biarpun keputusan ini agak berat, namun demi memastikan keselamatan kesemua pemain kami memutuskan untuk memberikan memberikan kemenangan kepada TFC II.

“Kepada penyokong-penyokong Penang FC, kami memohon maaf atas keputusan berkenaan dan kami ucapkan terima kasih atas sokongan padu yang diberikan kepada pasukan selama ini.

“Pihak pengurusan juga mengucapkan tahniah kepada pasukan TFC II yang telah menjayakan kejohanan ini baik dan kami juga bersedia untuk menyertai kejohanan seumpamanya pada masa akan datang,” menurut jurucakap berkenaan menerusi satu kenyataan media pada Khamis.

Aksi terakhir Piala Menteri Besar Terengganu pada Rabu telah dicemari dengan insiden pergaduhan antara pemain TFC II dan Penang FC pada minit ke-45 sehingga menyaksikan perlawanan terpaksa dihentikan selama 45 minit.

Suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC selepas berlaku pergaduhan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. - Foto Bernama
Suasana tegang antara pemain TFC II dan Penang FC selepas berlaku pergaduhan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pada Rabu. - Foto Bernama

Jurucakap berkenaan turut mengesahkan pihak pengurusan kelab telah mengarahkan Pengarah Teknikal dan Ketua Jurulatih Penang FC untuk menyediakan laporan penuh berhubung insiden pergaduhan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, laporan berkenaan secara keseluruhannya bagi tujuan penilaian dan seterusnya membantu pihak penganjur bagi melakukan siasatan lanjut.

“Berhubung insiden pergaduhan yang berlaku semasa perlawanan terakhir antara Terengganu II FC dan Penang FC pada malam tadi (Isnin) seperti mana yang ditularkan dalam pelbagai media massa, kita telah meminta agar laporan penuh disediakan berhubung perkara berkenaan,” katanya.