X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

Keputusan Shafee padam pernyataan saksi diketahui 15 Februari ini

Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan 15 Februari ini untuk keputusan permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapi peguam itu. - Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Khamis menetapkan 15 Februari ini untuk keputusan permohonan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi memadamkan lebih separuh daripada pernyataan saksi bertulis bekas pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mengenai kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapi peguam itu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu, selepas mendengar hujahan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee dan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz.

Terdahulu, Harvinderjit berhujah bahawa pihak pembelaan mendapati 33 daripada 51 perenggan pernyataan bertulis Syed Nasrul Fahmi Syed Mohamad, saksi pendakwaan ketujuh perlu dipadam atas dakwaan memprejudiskan anak guamnya dan tidak berasas.

Syed Nasrul Fahmi, merupakan bekas Ketua Penolong Pengarah (Eksekutif Hasil Kanan I), Bahagian Perancangan Cukai Agresif (BPCA), Jabatan Tindakan Khas, LHDN sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 28 Februari 2020.

Harvinderjit berkata perenggan-perenggan tertentu dalam pernyataan bertulis yang dibacakan saksi pendakwaan ketujuh itu hanya berdasarkan pendapat dan 'hearsay' (dengar cakap) semata-mata, serta tidak relevan dengan kes dihadapi oleh Muhammad Shafee.

"Sebahagian perenggan dalam pernyataan bertulis itu tidak relevan dengan pertuduhan dihadapi anak guam saya, dan saksi itu memberi pendapat tentang tafsiran peruntukan Akta Cukai Pendapatan sedangkan beliau tidak berhak memberi pendapat dalam bidang undang-undang, kerana tidak mempunyai latar belakang dalam bidang berkenaan,” kata Harvinderjit.

Sementara itu, Afzainizam berhujah bahawa Syed Nasrul Fahmi telah diberi kuasa statutori untuk menjalankan siasatan, dalam kes dihadapi Muhammad Shafee.

"Saksi pendakwaan ketujuh itu telah membuat siasatan terperinci berhubung penerimaan wang RM9.5 juta oleh Muhammad Shafee daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dan pernyataan bertulis saksi itu adalah berdasarkan fakta dan inti pati pertuduhan dihadapi tertuduh.

"Tertuduh 'taking a short cut' dengan meminta supaya mahkamah memadamkan sebahagian besar pernyataan bertulis itu, kerana tiada asas untuk tertuduh berbuat demikian,” katanya dan menambah pihak pembelaan boleh mencabar keterangan saksi pendakwaan ketujuh itu dengan menyoalnya semasa perbicaraan.

Menurut Afzainizam, tindakan pembelaan menuduh pihak pendakwaan mendakwa tertuduh tanpa siasatan lengkap dibuat juga tidak berasas.

"Walaupun siasatan terperinci dibuat selepas tertuduh didakwa, ia tidak memprejudiskannya atau pihak pendakwaan dihalang daripada mendapatkan keterangan relevan bagi tujuan membuktikan kes terhadap tertuduh,” katanya.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Muhammad Shafee didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram, iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!