1,000 kuota guru takmir ditambah tahun ini: Idris

Idris
Idris
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menambah sebanyak 1,000 kuota perjawatan bagi guru takmir di seluruh negara pada tahun ini, melibatkan kenaikan peruntukan sebanyak RM10.8 juta setahun.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad berkata, pertambahan kuota tersebut juga menjadikan jumlah keseluruhan guru takmir pada tahun ini adalah seramai 5,000 orang.

"Dengan penambahan kuota tersebut ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak RM54 juta setahun. Dalam masa terdekat ini, Jakim akan melaksanakan pengagihan kuota guru takmir seramai 1,000 orang berdasarkan nisbah jumlah masjid dan surau di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Seberang Takir di sini pada Khamis.

Katanya, keperluan pengajaran guru-guru takmir tersebut juga kini tidak lagi terhad di masjid dan surau malah mereka akan turut mengajar di agensi-agensi lain seperti institusi penjara, institusi warga emas dan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam perkembangan lain, Idris berkata secara keseluruhannya, kerajaan Persekutuan telah menyalurkan peruntukan kewangan sebanyak RM65.58 juta kepada imam, bilal, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Terengganu pada tahun ini.

Beliau berkata, jumlah itu meliputi peruntukan elaun keseluruhan sebanyak RM45.08 juta dan bayaran bantuan khas 2022 keseluruhan bernilai RM1.64 juta kepada 3,276 guru KAFA di seluruh negeri.

"Ia sebagai penghargaan kepada guru KAFA di Terengganu yang berperanan penting sebagai ‘murabbi ummah’ dalam mendidik kanak-kanak pada peringkat awal untuk memastikan generasi masa depan negara mempunyai asas agama yang kukuh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau menambah, sebagai menghargai sumbangan guru KAFA, bermula Januari tahun ini guru KAFA wanita di seluruh negara yang bersalin layak diberikan cuti bersalin sebanyak 60 hari dengan dibayar elaun, berbanding sebelum ini mereka tidak dibayar elaun sepanjang cuti bersalin.

Dalam pada itu, Idris berkata, kerajaan juga telah menyalurkan peruntukan kewangan keseluruhan berjumlah RM18.87 juta pada tahun ini kepada 5,817 imam, bilal dan guru takmir di Terengganu.

Beliau berkata, peruntukan tersebut meliputi bayaran khas sebanyak RM500 secara ‘one-off’ yang diteruskan pada tahun ini kepada golongan tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM1.05 juta, dan ia akan disalurkan sebelum Adilfitri nanti.

Selain itu, katanya, kerajaan akan meneruskan caruman pakej program perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) sebanyak RM232.80 seorang kepada imam, bilal dan guru takmir yang layak dengan jumlah peruntukan sebanyak RM473,980.

"Imbuhan bagi 1,356 imam di seluruh negeri pada tahun ini diperuntukkan sebanyak RM13.83 juta dan elaun kepada 325 guru takmir diperuntukkan sebanyak RM3.51 juta yang telah pun disalurkan pada 7 Januari 2022, bagi agihan suku pertama tahun ini,” katanya. - Bernama