PCM lapor SPRM terhadap ahli Parlimen libat projek ternak arnab

Murali (kiri) bersama Naib Presiden PCM, R Muralitharan ketika hadir membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis.
Murali (kiri) bersama Naib Presiden PCM, R Muralitharan ketika hadir membuat laporan di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Parti Cinta Malaysia (PCM) membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung sumbangan projek penternakan arnab melibatkan seorang ahli Parlimen di Selangor.

Ketua Penerangan Nasional PCM, Murali Ballah berkata, laporan tersebut bertujuan untuk membolehkan pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap sebarang penyelewengan yang mungkin wujud dalam kes terbabit.

“Menerusi hantaran di laman Facebook beliau pada 6 Januari lalu, ahli Parlimen tersebut memaklumkan telah menyalurkan sumbangan tersebut menerusi pusat khidmat rakyat bagi mengembangkan sektor penternakan arnab.

“Bagaimanapun pada Isnin lalu, individu yang didakwa menerima sumbangan berkenaan telah membuat laporan polis bagi menafikan perkara tersebut,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada Khamis.

Murali berkata, semakan pihaknya mendapati ahli Parlimen berkenaan turut mengarahkan sebuah sangkar arnab dipasang di kediamannya.

Berdasarkan semakan invois pembelian, Murali berkata, sejumlah RM3,470 telah dibayar bagi pembinaan tujuh sangkar arnab untuk pembangunan projek berkenaan namun sebuah sangkar telah dipasang di kediaman wakil rakyat terbabit.

“Memang jumlah sebuah sangkar hanya RM450 kelihatan sedikit, namun ia tetap melibatkan wang rakyat.

“Justeru, kami mendesak SPRM untuk lakukan siasatan semua sumbangan ahli Parlimen itu sejak Pilihan Raya Umum ke-14 lalu kerana kelihatan meragukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelumnya, Aylwin yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat laporan polis pada 7 Februari lalu bagi menafikan kenyataan ahli Parlimen berkenaan di laman Facebook mengenai sumbangan projek penternakan arnab.

Aylwin dilaporkan berkata, wang yang diterimanya itu adalah sebagai bayaran untuk pemasangan tujuh sangkar arnab yang dibuat oleh syarikatnya.