Tiada cadangan tetapkan harga lantai getah sekerap

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Mohd Akin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan belum lagi bercadang untuk menetapkan harga lantai bagi getah sekerap.

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah) berkata, ini kerana pelaksanaan harga lantai akan memberikan impak kewangan yang besar kepada kerajaan.

"Kerajaan belum dapat mempertimbangkan cadangan itu, kerana selain impak kewangan yang tinggi ia juga berdasarkan kepada faktor lain seperti menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga dalam kalangan penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah.

"Di samping menyediakan ruang kepada aktiviti penyeludupan getah ke luar negara memandangkan harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding dengan harga antarabangsa," katanya ketika menjawab pertanyaan Awang Hashim (Pas-Pendang) yang bertanyakan sama ada pihak kementerian telah melaksanakan harga lantai pembelian getah seperti yang dijanjikan pada kadar RM2.50, dalam sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Bagaimanapun kata Iskandar, kerajaan tentunya amat prihatin dengan cabaran yang dihadapi oleh pekebun kecil getah terutamanya apabila berlaku kejatuhan harga pasaran getah.

"Sehubungan itu, kerajaan terus melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sebagai langkah untuk menstabilkan harga pengeluaran getah," katanya.

Katanya, berdasarkan harga getah yang terlalu rendah pada penghujung tahun 2018 , kerajaan telah menambahbaik pelaksanaan IPG pada 21 November 2018 dengan menaikkan Paras Pengaktifan (PHP) daripada RM2.20 kepada RM2.50 sekilogram getah sekerap.

Katanya, kadar PHP baru ini berkuatkuasa bermula 1 Januari 2019 dan kementerian melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah menyalurkan IPG dengan kadar baharu bermula awal Februari 2019.

Artikel Berkaitan: