Kerajaan, Jakim diminta perjelas cuti bersalin berelaun guru KAFA

Kerajaan terutamanya Jakim diminta memberi penjelasan terperinci berhubung kemudahan cuti bersalin berelaun guru KAFA seperti yang diumumkan tahun lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifli)
Kerajaan terutamanya Jakim diminta memberi penjelasan terperinci berhubung kemudahan cuti bersalin berelaun guru KAFA seperti yang diumumkan tahun lalu. - Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifli)
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta memberi penjelasan terperinci berhubung kemudahan cuti bersalin berelaun guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) seperti yang diumumkan tahun lalu.

Penasihat Persatuan Sahabat Kafa (PESAK) Negeri Sembilan, Zulkifli Muhamed berkata, ini susulan masih belum ada pelaksanaan berhubung perkara tersebut setakat ini.

"Susulan pengumuman tu, kita menerima banyak pertanyaan khususnya daripada guru-guru KAFA yang sedang mengandung dan ada juga sudah bersalin tentang kedudukan mereka berhubung pengumuman tersebut.

"Ini kerana setakat ini kita hanya mendapat maklumat daripada pengumuman itu sahaja tetapi pelaksaannya belum," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerajaan sangat komited untuk membela kebajikan guru KAFA.

Justeru bermula 1 Januari 2022, guru KAFA akan menikmati kemudahan cuti bersalin berelaun demi kebajikan mereka.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, kemudahan itu sepatutnya dilaksanakan awal Januari lepas, namun sehingga kini pihaknya difahamkan belum ada ketetapan khusus termasuk peruntukan khas bagi menampung tujuan tersebut.

"Ini menunjukkan pengumuman itu hanya sekadar pada pengumuman am sahaja, tanpa ada pelaksanaan sekali gus membawa kebimbangan kepada guru-guru itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya perkara ini boleh menganggu emosi guru yang bakal bersalin ini selain membuatkan mereka tertanya-tanya status kemudahan tersebut. Hal ini kurang baik semasa proses mereka bersalin nanti.

"Jadi pada ruang yang ada ini, saya mewakili guru KAFA merayu kepada pihak berkenaan khsusunya Jakim untuk tampil menjelaskan dimana letaknya kedudukan pengumuman ini tadi supaya dapat meleraikan segala pertanyaan," katanya.

Jelas Zulkifli, pihaknya tidak menafikan pengumuman itu memberi kegembiraan kepada guru terlibat berikutan ada dalam kalangan guru tersebut merupakan golongan B40 dan fakir miskin.

"Ia (cuti bersalin berelaun) merupakan nikmat dan manfaat yang ditunggu-tunggu," katanya.