Jaringan Lukaku bawa Chelsea ke final Piala Dunia Kelab

Lukaku (tengah) meraikan jaringannya ketika membantu Chelsea mara ke final Piala Dunia Kelab.
Lukaku (tengah) meraikan jaringannya ketika membantu Chelsea mara ke final Piala Dunia Kelab.
A
A
A

JARINGAN Romelu Lukaku pada separuh masa pertama menentang kelab Arab Saudi, Al Hilal awal pagi Khamis nyata sudah cukup untuk Chelsea mara ke final Piala Dunia Kelab menentang juara Amerika Selatan, Palmeiras.

Pemain antarabangsa Belgium itu menjaringkan gol dari jarak dekat pada minit ke-32 untuk memastikan Chelsea melangkah ke pentas final buat kali kedua dalam tempoh 10 tahun.

"Semua orang gembira apabila Romelu (Lukaku) menjaringkan gol. Dia bekerja keras dan mencuba sehabis baik untuk memberikan segala-galanya yang dia mampu.

"Sebab itu kami memberinya peluang untuk beraksi dan kami berharap dia akan terus memperoleh prestasi sebenar.

"Kami berharap dia akan terus menampilkan aksi konsisten dan menjaringkan gol pada aksi final," kata penolong jurulatih Chelsea, Zsolt Low.

Sekiranya menang pada perlawanan akhir menentang Palmeiras, Chelsea akan menjadi pasukan ketiga memenangi Piala Dunia Kelab selepas muncul naib juara ketika tewas kepada Corinthians pada penampilan pertama pada tahun 2012.

Dalam pada itu Low turut memuji aksi hebat penjaga gawang, Kepa Arrizabalaga yang berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya daripada pihak lawan.

"Ketika saingan Piala FA, dia (Kepa) berjaya beraksi dengan baik apabila menyelamatkan penalti pada minit akhir. Hari ini apabila kami memerlukannya, dia ada di sana dan melakukan satu lagi aksi yang hebat.

Artikel Berkaitan:

"Dia berada dalam keadaan yang sangat baik, dan berlatih dengan baik. Kami bertuah kerana memilikinya.

"Sudah tentu ia sukar untuk saya memutuskan siapa yang akan menjaga gawang Chelsea pada perlawanan akhir. Kami akan menunggu pendapat Thomas dan jurulatih penjaga gol sebelum kami membuat keputusan untuk siapa yang akan beraksi pada perlawanan akhir," katanya.