Covid-19: Sembilan kematian baharu dilaporkan, empat BID

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sembilan kematian baharu akibat Covid-19 pada Rabu.

Daripada jumlah tersebut, empat kes adalah kematian di luar hospital atau brought-in-dead (BID).

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian disebabkan pandemik itu kini sebanyak 32,065 orang daripada lebih 2.8 juta kes positif Covid-19 yang dikesan di negara ini.

Menurut data KKM di portal CovidNow, kes kematian itu direkodkan di tujuh negeri dengan tertinggi direkodkan di Perak dan Sabah iaitu masing-masing dua kes.

Sementara itu, satu kes kematian dicatatkan bagi negeri Johor, Kedah, Negeri Sembilan, Pahang dan Selangor.

Bagi kes BID pula, satu kes direkodkan di Negeri Sembilan, Pahang, Sabah dan Selangor.

Dalam pada itu, terdapat 94,515 kes aktif Covid-19 di seluruh negara.

Daripada jumlah tersebut, seramai 83,906 individu dikuarantin di rumah manakala 5,405 orang pula ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Artikel Berkaitan:

Data KKM itu turut menunjukkan bahawa sebanyak 5,057 kes dirawat di hospital dan 147 pesakit ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

Kes ICU pula membabitkan 68 pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan 79 lagi memerlukan mesin ventilator.