Berkompromi elak pertandingan dua jawatan teratas PSM

Laporan Sukan Sinar Selasa lalu. Gambar kecil: Yusoff Latiff
Laporan Sukan Sinar Selasa lalu. Gambar kecil: Yusoff Latiff
A
A
A

PENGASAS Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Tan Sri Mohd Yusoff Latiff percaya pemilihan kepimpinan baharu dalam badan induk sepak takraw tersebut merupakan satu proses biasa dalam amalan demokrasi negara ini.

Malah menurut Mohd Yusoff, beliau percaya proses pemilihan juga secara tidak langsung memberi peluang kepada ahli-ahli gabungan untuk memilih calon berkaliber yang tepat kerana individu dipilih berperanan mencorak hala tuju badan induk tersebut.

Bagaimanapun pada masa sama, Mohd Yusoff menitipkan pesanan sebagai orang lama supaya dua jawatan teratas PSM melibatkan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan bagi membolehkan dua tokoh yang mengisi posisi itu kelak bekerjasama dalam memperkemaskan semula organisasi dalam usaha kembali bersama Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

"Mana-mana pemilihan pun ia merupakan satu proses demokrasi tidak terkecuali juga dengan persatuan tertua negara seperti PSM ini, namun dalam situasi semasa ini saya amat berharap lebih baik berkompromi jika boleh elak pertandingan untuk dua jawatan teratas persatuan.

"Ini penting bagi mengelak berlakunya perpecahan setelah segala usaha dilakukan untuk mengembalikan ahli gabungan untuk duduk semeja semula dalam PSM telah berjaya direalisasikan sebelum ini biarpun terdapat beberapa ahli gabungan masih berada di luar.

"Sejujurnya kekuatan PSM ini adalah perpaduan disaluti penerimaan perbezaan masing-masing sebagai asas untuk persatuan terus kekal dan lestari sampai bila-bila. Setiap ahli gabungan mempunyai peranan penting mengekalkan perpaduan mengikut peringkat dan kapasiti masing-masing bagi mengembalikan semula maruah sepak takraw negara,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Untuk rekod pada pemilihan kepimpinan baharu PSM yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini, dua nama dicalonkan untuk perebutan jawatan presiden iaitu Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip), Datuk Mohd Sumali Reduan dan Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Zuraidin Abdullah.

Mohd Sumali dan Zuraidin juga turut menerima pencalonan jawatan timbalan presiden selain Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Datuk Abdul Halim Suleiman dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Artikel Berkaitan:

Sementara untuk jawatan naib presiden pula menyaksikan pencalonan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT), Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman; Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP), Datuk Abu Jimi Samat; Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka), Datuk Awang Sham Amit selain pencalonan Abdul Halim dan Abdul Puhat.

Sukan Sinar melaporkan sebelum ini Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh memaklumkan kesemua calon tersebut perlu menyatakan pengesahan persetujuan untuk bertanding jawatan masing-masing kepada jawatankuasa pencalonan selewat-lewatnya sebelum jam 12 tengah hari pada Khamis.

PENCALONAN PEMILIHAN PSM 2022/25

> PRESIDEN

1. Datuk Mohd Sumali Reduan

Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip)

2. Zuraidin Abdullah

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak)

> TIMBALAN PRESIDEN

1. Datuk Mohd Sumali Reduan

Presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Persewip)

2. Zuraidin Abdullah

Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak)

3. Datuk Abdul Halim Suleiman

Persatuan Sepak Takraw negeri Johor (PSNJ),

4. Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan

Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar)

> NAIB PRESIDEN

1. Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT)

3. Datuk Abu Jimi Samat

Timbalan Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP)

4. Datuk Awang Sham Amit

Presiden Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka)

4. Datuk Abdul Halim Suleiman

Persatuan Sepak Takraw negeri Johor (PSNJ),

5. Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan

Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar)