Harga kek dan biskut naik RM2 hingga RM5

Anita sibuk menyiapkan tempahan pelanggan dan mengakui berdepan kenaikan harga barangan asas bakeri sejak tahun lalu.
Anita sibuk menyiapkan tempahan pelanggan dan mengakui berdepan kenaikan harga barangan asas bakeri sejak tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Harga kek dan biskut dikesan berlaku kenaikan harga antara 10 hingga 20 peratus susulan kos bahan mentah bakeri meningkat sejak pertengahan tahun lalu.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa premis penjualan pastri di Kuantan mendapati kenaikan harga antara RM2 hingga RM5 bagi pelbagai jenis kek dan biskut.

Rata-rata peniaga bakeri mengakui kenaikan harga kek dan biskut bukan berpunca daripada kekurangan bekalan telur, sebaliknya ia melibatkan barangan asas bakeri.

Anita
Anita

Pemilik Anita Bakeri and Cafe, Nor Anita Ahmad, 46, berkata, kenaikan bahan asas bakeri sehingga 25 peratus seperti pelbagai jenis esen, tepung sehinggalah mentega sejak Mei tahun lalu antara punca harga kek dan biskut terpaksa dinaikkan.

Menurutnya, penetapan harga baharu kek dan biskut sudah bermula penghujung bulan Disember lalu.

"Saya naikan harga barangan jualan (kek dan biskut) bukan disebabkan faktor kekurangan bekalan telur, sebaliknya peniaga bakeri sudah lama terkesan dengan kenaikan kos bahan asas bakeri.

"Bila bahan asas bakeri naik, saya terpaksa menaikkan harga sekitar 10 hingga 20 peratus daripada harga asal bagi menampung kos. Keputusan ini dibuat selepas membuat pengiraan secara detail," katanya ketika ditemui Sinar Harian di premis perniagaan di Batu Enam Jalan Gambang di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada empat anak itu memberitahu, kebanyakan pelanggan memahami situasi dan sebolehnya mahu menjual kek dan biskut pada harga mampu milik.

Jelasnya, setakat ini perniagaan masih berjalan lancar memandangkan banyak kek dan biskut yang dihasilkan dijual pada harga patut.

"Saya hasilkan pelbagai jenis kek dan biskut yang dijual serendah RM10 hingga RM12 bagi memastikan pelanggan tidak terkesan dengan kenaikan harga barangan makanan itu," katanya.

Susyila
Susyila

Sementara itu, usahawan bakeri Blush Bake By Sugar Paper di Indera Mahkota, Susyila Burhanuddin,41, mengakui kekurangan bekalan telur bukan faktor kenaikan harga kek dan biskut buatannya.

Menurutnya, sebaliknya kenaikan makanan pastri itu disebabkan kos bahan mentah bakeri yang meningkat sejak tahun lalu seperti keju, tepung dan marjerin serta peralatan bakeri.

Susyila mengakui kek yang dihasilkan turut mengalami kenaikan harga awal tahun ini.
Susyila mengakui kek yang dihasilkan turut mengalami kenaikan harga awal tahun ini.

"Saya naikan harga kek dan biskut sekitar 10 peratus pada awal tahun lalu disebabkan kenaikan bahan asas bakeri.

"Tapi untuk isu bekalan telur ayam, setakat ini tidak terkesan kerana menggunakan telur ayam kampung dan telur omega dalam pembuatan kek dan biskut," katanya.

Sementara itu, Nurul Aminah Idris, 34, pemilik Bakeri Ainal mengakui tidak mampu bertahan untuk mengekalkan jualan sedia ada.

Katanya, kekurangan bekalan telur juga akan menjadi faktor kenaikan kek dan biskut meningkat tahun ini, jika trend peningkatan harga berlaku.

"Harga barang asas bakeri memang naik sejak Mei tahun lalu lagi, tetapi saya bertahan hujung tahun dan awal tahun ini saya terpaksa naikan harga sebab tidak mampu menampung kos.

"Saya hasilkan pelbagai jenis kek yang dijual pada harga serendah RM10 hingga RM250 mengikut permintaan pelanggan dan 30 jenis biskut dijual sekitar RM20 hingga mencecah RM35 sebalang,” ujarnya.

Bagi pemilik Usahawan bakeri, Zealina Yahaya,53, berkata, kenaikan harga barangan asas bakeri sangat melampau sehingga menyebabkan kek dan biskut terpaksa dinaikkan harga.

"Kenaikan harga kek dan biskut ini tiada kena mengena dengan isu bekalan telur kerana kita mempunyai pilihan menggunakan telur kampung atau telur omega. Jadi, tiada kenaikan harga setakat ini membabitkan isu telur.

"Kita naikan harga kek dan biskut sehingga 10 peratus disebabkan barangan mentah semakin melonjak," katanya.

Seorang lagi pengusaha kek dan biskut, Aishah Rebah, 44 mengakui sudah menaikkan harga sebanyak RM2 hingga RM5 bagi tempahan kek dan biskut.

Menurutnya, kenaikan itu tidak dapat dielakkan susulan tidak dapat menampung kos kenaikan harga barangan.

"Harga jualan berubah-ubah dan saya ikut rapat harga barangan di pasaran, jika barang naik saya terpaksa naikkan harga, begitu juga sebaliknya," katanya.