Kayu cengal jadi dinding menara Masjid Tok Pulai Chondong

Ahmad menunjukkan struktur asal Masjid Tok Pulai Chondong di Kampung Surau, Pulau Chondong, Machang, Kelantan.
Ahmad menunjukkan struktur asal Masjid Tok Pulai Chondong di Kampung Surau, Pulau Chondong, Machang, Kelantan.
A
A
A

MACHANG - Bagi memastikan suara azan didengari di seluruh kawasan, seorang alim ulama di sini sanggup membawa kayu cengal dari Bukit Cina, Kok Lanas sehingga ke Kampung Surau, di sini untuk dijadikan dinding menara di Masjid Tok Pulai Chondong.

Peristiwa berlaku pada 1857 itu diketuai Allahyarham Tok Pulai Chondong atau nama sebenarnya Abdul Samad Fakih Abdullah, melibatkan perjalanan hampir 10 kilometer diiringi puluhan orang kampung yang bergotong-royong bergilir membawa kayu cengal berkenaan untuk dibina menara di masjid tersebut.

Imam Tua Masjid Tok Pulai Chondong yang juga generasi kelima keturunan Tok Pulai Chondong, Ahmad Saifudin Mohd Nor, 37, memberitahu, menara tersebut berukuran tinggi 25.9 meter dengan ukur lilit 3.6 meter.

Katanya, kini usia menara berkenaan mencecah lebih 160 tahun, namun strukturnya masih kukuh dan kayunya telah dicat 10 tahun lalu walaupun dengan keadaan sedikit condong ke arah kiri.

Menara Masjid Tok Pulau Chondong masih kukuh berdiri walaupun berusia lebih 160 tahun.
Menara Masjid Tok Pulau Chondong masih kukuh berdiri walaupun berusia lebih 160 tahun.

"Sebelum ini tapak masjid ini berada di Kampung Bilal Talib namun terbakar dan berpindah ke Kampung Surau. Semasa di Kampung Surau, arwah Tok Pulai Chondong suruh bina menara masjid, geduk dan mimbar.

"Maka terbinalah menara tersebut yang masih gah sehingga kini. Mimbar dan geduk pun masih ada, cuma ia tersimpan sebab kami guna peralatan baharu.

"Menara pula masih digunakan seperti biasa, cuma bezanya kita meletakkan pembesar suara di puncak menara berkenaan supaya ia didengari di seluruh kawasan sekitar," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pemilihan kayu dan kulit untuk membuat geduk berkenaan juga amat teliti sehinggakan pada zaman itu, mengikut fakta sahih, ketukan geduk berkenaan boleh didengari sehingga ke beberapa daerah bersebelahan.

Antara fakta sejarah yang dipaparkan di menara berkenaan.
Antara fakta sejarah yang dipaparkan di menara berkenaan.

Beliau berkata, selepas wujudnya pembesar suara, kini menara berkenaan menjadi dinding kepada alatan-alatan moden tersebut bagi memastikan alatan moden ini disokong oleh gema daripada kayu cengal tersebut.

Ketika ditanya mengenai penjagaan barang-barang lama berkenaan, Ahmad memberitahu, kayu berkenaan telah dicat 10 tahun lalu manakala barangan lain tetap dijaga rapi walaupun tidak digunakan lagi.

Katanya, tingkap masjid juga masih menggunakan kunci engsel lama dan sentiasa dibaik pulih jika mengalami kerosakan, sekali gus mengekalkan tradisi orang Melayu lama.

Tingkap masjid masih mengikut tradisi melayu lama.
Tingkap masjid masih mengikut tradisi melayu lama.

"Banyak lagi ciri-ciri kemelayuan lama masih dikekalkan di masjid ini, antaranya pintu di zaman Jepun dahulu. Pintu berkenaan digunakan untuk turun ke bahagian bawah masjid semasa zaman pemerintahan Jepun dulu, namun sekarang ini kita kunci, tidak guna.

"Selain itu, walaupun di bahagian luar masjid sudah bercampur dengan simen, namun bangunan asal yang menggunakan kayu juga masih kita kekalkan supaya ia menjadi satu nilai sejarah yang tinggi di masa hadapan," katanya.