Tahap keselamatan mesin ATM perlu ditingkatkan

Tindakan penjenayah letupkan sebuah mesin ATM di Meru, Klang pada Selasa mendapat perhatian ramai.
Tindakan penjenayah letupkan sebuah mesin ATM di Meru, Klang pada Selasa mendapat perhatian ramai.
A
A
A

PADA tahun 2014, negara gempar dengan kejadian sindiket godam mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Pada Selasa, negara dikejutkan dengan kejadian rompakan sebuah mesin ATM di Meru, Klang.

Bukan sekadar merompak, sebaliknya tindakan penjenayah meletupkan mesin ATM tersebut menjadikan kejadian itu mendapat perhatian ramai.

Perbuatan itu bukan sahaja kelihatan ekstrem, bahkan berdasarkan pemerhatian kasar sebagai masyarakat Malaysia, ia ibarat jenayah yang berlaku di luar negara, bukan di Malaysia.

Untuk rekod, kes hampir serupa pernah dilaporkan berlaku di sebuah bank di Jalan Haji Mustaffa Raja Kamala, Tanjung Malim, Perak pada 12 Ogos 2019.

Menurut kenyataan polis, tiga suspek lelaki dipercayai terlibat meletupkan sebuah mesin ATM kira-kira jam 6.30 pagi dan berjaya melarikan wang tunai berjumlah RM270,000.

Timbul persoalan, sejauh mana tahap keselamatan pada mesin ATM ketika ini? Apakah masih ditakuk lama sehingga penjenayah mampu melarikan sejumlah wang.

Tidak dinafikan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai pelbagai kecanggihan teknologi bantuan seperti kamera litar tertutup (CCTV) serta kepakaran Bahagian D10 (Forensik) dalam selok-belok bagi penyenayah terlibat.

Artikel Berkaitan:

Seperti yang umum ketahui, pada Jun 2021, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan memaklumkan bahawa pihaknya sudah melaksanakan beberapa perancangan strategik bagi memperkasakan D10 di negara ini.

Ini adalah satu usaha yang baik selaras dengan perkembangan teknologi terkini dan trend semasa jenayah.

Bagaimanapun, tidak seharusnya meletakkan soal keselamatan kepada polis semata-mata.

Pihak bank juga sepatutnya memastikan ciri-ciri keselamatan pada mesin ATM dipertingkatkan seiring dengan dunia moden hari ini.

Tidak kira sama ada mesin ATM itu terletak di premis bank itu sendiri mahupun kedai serbaneka, stesen minyak atau lain-lain.

Perlu diingatkan, walaupun teknologi sentiasa berubah-ubah mengikut peredaran zaman, penjenayah juga sentiasa mencari jalan menggunakan teknologi terkini untuk merompak.