JAS lengkapkan kertas siasatan pendakwaan kebakaran di Pulau Burung

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan pendakwaan terhadap pihak pengurusan tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burung fasa 1 di Nibong Tebal, Pulau Pinang sedang dilengkapkan ekoran kejadian kebakaran di kawasan berkenaan sejak 12 Januari lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar, Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pendakwaan itu dibuat di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 bagi kesalahan pembakaran terbuka dan mengikut Seksyen 34A AKAS 1974 bagi pelanggaran syarat-syarat Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).

"JAS juga meneruskan pemantauan dan pengukuran kualiti udara di kawasan berhampiran penduduk dengan menggunakan alat ‘portable particulate analyser’ di lokasi yang dikenal pasti.

"Sementara alat ‘portable gas analyser’ pula ditempatkan di kawasan sensitif bagi mengukur kehadiran gas-gas toksik di sekitar tapak pelupusan sisa pepejal berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau juga memberitahu pihaknya telah menempatkan stesen pemantauan kualiti udara bergerak di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Byram, Nibong Tebal.

Tindakan itu, beliau berkata dilakukan bagi mengukur status kualiti udara untuk mendapatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di kawasan terlibat.

"Kawasan kebakaran di tapak pelupusan sisa pepejal ini telah padam sepenuhnya namun lokasi masih berasap disebabkan proses penguraian timbunan sisa sampah yang menghasilkan gas metana yang mudah terbakar," katanya.

Beliau menjelaskan kejadian itu tidak dipengaruhi oleh keadaan geologi tanah di kawasan berkenaan kerana ia bukan daripada jenis tanah gambut yang mudah terbakar.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan kajian di bawah Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Mudah Terbakar untuk Mengatasi Jerebu di Malaysia oleh JAS tahun 2019 dan Peta Taburan Tanah Gambut oleh Jabatan Pertanian Malaysia menunjukkan Pulau Pinang tidak mempunyai kawasan tanah gambut yang boleh dikaitkan dengan kejadian kebakaran ini," katanya.

Sebelum itu, kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah di Jalan Byram dilaporkan berlaku kira-kira jam 5 petang pada 12 Januari dan penduduk berhampiran diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala 10 sekolah berdekatan diarah tutup.

Pada 22 Januari, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil siasatan semula oleh pihak bomba ke atas tapak pelupusan sampah itu mendapati kira-kira 11 hektar tanah terbakar dan kerja-kerja pemadaman api dijalankan menggunakan kaedah air serta tambakan tanah. - Bernama