Sila log masuk terlebih dahulu.

Empat daerah kenal pasti lokasi penempatan mangsa banjir: MB Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Beberapa lokasi baharu untuk penempatan mangsa banjir di Pahang sudah dikenal pasti bagi daerah Kuantan, Lipis, Raub dan Pekan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bagaimanapun lokasi itu belum muktamad kerana keputusan perlu mengambil kira beberapa faktor termasuk pandangan daripada mangsa banjir sendiri.

Menurutnya, pemindahan mangsa banjir tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa kerana ada yang tidak bersedia untuk berpindah atas alasan tersendiri. Sekiranya ada mangsa banjir yang perlu dipindahkan, kerajaan negeri akan pastikan prosesnya dibuat secara teratur.

"Pada masa sama, jika boleh usahakan langkah-langkah mencegah banjir, kemungkinan penduduk di kawasan terlibat tidak perlu dipindahkan," katanya dalam sidang akhbar, pada Rabu.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga akan berbincang dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) serta Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) untuk keputusan lebih tepat.

Menurutnya, kerajaan negeri memberi tumpuan untuk membantu mangsa banjir terutama yang kehilangan rumah dan kediaman rosak akibat bencana itu, baru-baru ini.

"Saya dimaklumkan ada agensi kerajaan seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) turut mengenal pasti kawasan dan rumah-rumah yang perlu dibaiki.

"Pada masa sama, ada juga rumah telah dibaiki. Jadi, kerajaan negeri akan pantau perkara ini bagi mengelak pertindihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Kerajaan UAE juga setuju untuk membantu dan kerajaan negeri diminta mengemukakan maklumat pemaju bagi membina dan membaiki rumah mangsa banjir.

Sementara itu katanya, pegawai dan jurutera setiap daerah telah dipanggil untuk maklumat terperinci mengenai usaha yang boleh diambil untuk penyelesaian jangka pendek.