Peter mengaku enggan tanda tangan notis tangkapan

Peter Anthony
Peter Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Peter Anthony memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa beliau enggan menandatangani notis tangkapan yang diserahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lapan tahun lalu.

Ketika prosiding bela diri atas pertuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di hadapan Hakim Azura Alwi, Peter berkata, keengganannya untuk menandatangani notis itu kerana beliau sudah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

Beliau berkata, pada 12 Mac 2015, beliau diminta hadir ke Pejabat SPRM Sabah dan dimaklumkan oleh pegawai agensi itu bahawa satu tangkapan di bawah Seksyen 17(b) akan dikuatkuasakan terhadapnya.

Menjawab soalan daripada peguam, S Devanandan yang mewakilinya, Peter yang bertindak sebagai saksi pembelaan pertama menafikan pernah memberi rasuah kepada mana-mana pihak.

Jelas Peter, ini kerana beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan mana-mana pegawai atasan UMS menyediakan surat sokongan berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal di universiti itu.

Justeru katanya, saksi pendakwaan ketiga (SP3), Mohd Shukur Mohd Din berbohong ketika memberi keterangan bahawa draf surat sokongan kosong ditinggalkan dalam komputer di pejabatnya.

Menurutnya, Mohd Shukur tidak pernah hadir atau menggunakan komputer di pejabatnya.

"Walaupun fikiran saya berkecamuk dengan tuduhan sedemikian, saya tetap memberi kerjasama kepada SPRM dan keterangan saya dirakam pada hari yang sama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berkata, pada sebelah petang, SPRM memaklumkan beliau akan ditahan di lokap melainkan diikat jamin sebanyak RM10,000.

Pada 14 Disember 2021, mahkamah memerintahkan Peter membela diri terhadap tuduhan memalsukan dokumen berhubung kontrak penyelenggaraan sistem mekanikal dan elektrikal selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Asli Jati Engineering didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu pada tajuk surat itu dengan niat untuk menipu.

Menurut pertuduhan, surat berkenaan kononnya menyatakan UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering yang dimiliki oleh tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.