X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Juara Liga Super 2022 sasaran utama KDA FC

Gambar Hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Adakah saingan Liga Super musim ini bakal menyaksikan munculnya pasukan yang mampu menamatkan penguasaan juara lapan kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT)?.

Persoalan itu timbul berikutan sasaran diletakkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kepada skuad Kedah Darul Aman (KDA) FC, menjelang sepak mula Liga Super yang dijadual bermula awal bulan hadapan.

Malah, Muhammad Sanusi turut melontarkan keyakinan KDA FC mampu merampas kejuaraan yang dinikmati JDT itu sejak 2014, sekiranya faktor isu kewangan tidak lagi menghantui pasukan musim ini.

"Kita punya resipi adunan cukup hebat, orang Kedah bila kata pulun maksudnya memang buat sehabis baik dan tak ada lagi halangan di depan, cuma tinggal masalah (kewangan) itu saja.

"Saya rasa kalau adunannya termasuk dari aspek kewangan yang saya ibaratkan macam garam, cukup cantik, saya rasa JDT bukan lawan kita. Kita akan jadi juara Liga Super,” katanya pada sidang media Majlis Memperkenalkan Penaja dan Rakan Rasmi pasukan bagi musim 2022 di sini pada Rabu.

Pada masa sama, Penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata, selain menjuarai Liga Super, pasukan turut menyasarkan merangkul satu lagi kejuaraan di peringkat domestik iaitu antara Piala FA dan Piala Malaysia.

Mohd Daud berkata, sasaran tinggi diletakkan pasukan musim ini, selepas kejayaan skuad bimbingan Ketua Jurulatih Aidil Sharin Sahak muncul naib juara berturut-turut pada musim 2020 dan 2021.

"Selama mana kita nak berada di situ, mesti ada peningkatan. Jadi tahun ini insya-Allah berkat dukungan presiden dan semua penyokong Kedah, kita nak pulun habis-habis. Kita nak menang sebanyak mungkin perlawanan dan melakar rekod prestasi cemerlang,” katanya.

Selain muncul naib juara, musim 2021 menyaksikan KDA FC mara sehingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia sebelum tewas kepada JDT, selain terpaksa melupakan hasrat beraksi pada Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), susulan saingan zon ASEAN kejohanan itu dibatalkan akibat Covid-19.

Pada majlis itu menyaksikan KDA FC memperkenalkan tujuh penaja dan enam rakan rasmi pasukan dengan DXN Industries (M) Sdn Bhd selaku penaja utama, namun tidak mendedahkan jumlah tajaan yang diterima.

KDA FC turut mempertaruhkan semula maskot 'Sang Kenari' menggantikan maskot ‘Lang Merah’, selain mengangkat semula moto 'Pulun Kedah Pulun' bagi menghadapi saingan musim ini yang menyaksikan KDA FC juga akan bertanding pada Piala AFC. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!