21,075 kanak-kanak daftar PICKids di NS

Jumlah keseluruhan kanak-kanak usia berkenaan di negeri ini adalah seramai 117,200 orang. - Foto Bernama
Jumlah keseluruhan kanak-kanak usia berkenaan di negeri ini adalah seramai 117,200 orang. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Seramai 21,075 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Negeri Sembilan sudah mendaftar untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-Kanak (PICKids).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, daripada jumlah tersebut 531 kanak-kanak telah menerima suntikan dos pertama masing-masing sehingga Selasa.

Katanya, jumlah keseluruhan kanak-kanak usia berkenaan di negeri ini adalah seramai 117,200 orang.

"Sehingga kini, tiada laporan berhubung masalah kesihatan diterima malah saya melihat mereka sihat dan berada dalam keadaan baik.

"Bagaimana pun, saya memahami terdapat segelintir ibu bapa dan penjaga yang masih bimbang untuk membenarkan anak-anak mereka divaksin. Mungkin mereka berhati-hati, perasaan biasa sebagai ibu bapa tambahan mereka (anak-anak) berumur bawah 11 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.

Ujarnya, pihaknya menyerahkan kebijaksanaan ibu bapa dalam menilai sama ada untuk mengambil vaksin tersebut ataupun sebaliknya dan sekiranya mereka yakin, ia tidak menjadi masalah.

Media sebelum ini melaporkan PICKids bermula Khamis lepas dan diberikan kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun yang didaftarkan oleh ibu bapa mereka secara sukarela.

Artikel Berkaitan:

Menerusi sidang akhbar Majlis Pelancaran PICKids, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, vaksin jenis Comirnaty oleh Pfizer akan diberikan kepada kanak-kanak dengan isipadu satu per tiga daripada dos golongan dewasa.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, pihaknya mengalu-alukan cadangan kerajaan pusat membuka semula sempadan negara menjelang 1 Mac ini.

"Ia suatu perkara yang baik untuk meningkatkan semula ekonomi dan industri pelancongan yang terjejas akibat Covid-19.

"Justeru, pihak yang pernah hadapi masalah sebelum ini terutama pemandu pelancong, syarikat bas dan agensi pelancongan akan menerima manfaat susulan sektor pelancongan semakin pulih dan kembali rancak," katanya.