MDB kuat kuasa tangkapan ternakan berkeliaran

Antara haiwan ternakan berkeliaran yang ditangkap penguat kuasa MDB pada Selasa.
Antara haiwan ternakan berkeliaran yang ditangkap penguat kuasa MDB pada Selasa.
A
A
A

BESUT - Majlis Daerah Besut (MDB) menguatkuasakan tangkapan ternakan berkeliaran berikutan aduan orang awam mengenai gangguan lalu lintas disebabkan kehadiran haiwan ternakan itu.

Yang Dipertuanya, Mohd Rashdan Muda berkata, sebanyak empat ekor lembu peliharaan yang ditemui berkeliaran ditangkap dalam operasi yang dijalankan pada Selasa.

Menurutnya, haiwan tersebut ditangkap ketika ditemui merayau dan berkeliaran di sekitar Kampung Raja, Kampung Kuala Besut, Kampung Air Tawar, Kampung Keluang dan Taman Perumahan Gong Tengah, di sini.

"Operasi ini dijalankan sejak sekian lama dan dilakukan secara berkala. Paling kurang sekali seminggu selain bergantung kepada aduan diterima daripada orang awam.

"Jika ada aduan bagi kes urgent (mendesak) seperti ditemui berada di laluan jalan raya, kita akan segera bertindak untuk tangkap haiwan itu bagi mengelak insiden tidak diingini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Menurut Mohd Rashdan, kesemua ternakan yang ditangkap itu ditempatkan di depo MDB dan pemiliknya boleh menuntut haiwan berkenaan dalam tempoh tujuh hari daripada tarikh ia ditangkap.

Sebahagian lembu yang ditangkap penguat kuasa MDB ketika berkeliaran dan mengganggu lalu lintas.
Sebahagian lembu yang ditangkap penguat kuasa MDB ketika berkeliaran dan mengganggu lalu lintas.

Katanya, pemilik akan dikenakan kompaun sebanyak RM250 di bawah Seksyen 6(1) Akta Haiwan Merayau selain perlu membayar kos jagaan sepanjang haiwan itu berada di depo berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebenarnya sebelum operasi dijalankan kita telah mengeluarkan notis pemberitahuan mengenai penguatkuasaan yang akan diadakan selepas menerima aduan daripada orang ramai.

"Selepas mengeluarkan notis, kita juga akan turun ke kawasan itu bertemu penternak atau pemilik haiwan ternakan bagi memaklumkan mengenai penguatkuasaan yang akan dijalankan sebelum mengambil sebarang tindakan," katanya.

Beliau berkata, proses tangkapan adalah langkah terakhir yang akan dilakukan sekiranya haiwan-haiwan itu didapati masih merayau dan berkeliaran di kawasan awam terutama melibatkan jalan raya.

Katanya, langkah itu berjaya membantu mengurangkan jumlah haiwan merayau dijalanan sekali gus mengurangkan kadar kemalangan akibat terlanggar haiwan itu.