Undang-undang perlindungan data sedang dikemaskini

Gobind Singh Deo (dua, kanan) menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Kongres Dunia Mengenai Teknologi Maklumat Pada 2020 hari ini. - Foto Bernama
Gobind Singh Deo (dua, kanan) menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Kongres Dunia Mengenai Teknologi Maklumat Pada 2020 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Komunikasi dan Multmedia menerusi Jabatan Perlindungan Data Peribadi kini sedang mengkaji semula Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) 2010 bagi memastikan ia terkini dan selaras dengan perkembangan semasa.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata kajian semula itu adalah berkaitan keperluan untuk melaksanakan PDPA secara berkesan dan efisien, selain untuk menyelaraskannya dengan keperluan antarabangsa mengenai perlindungan data peribadi termasuk perkara-perkara penting dalam Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR).

“Malaysia ada undang-undang yang digubal pada tahun 2010 iaitu PDPA tetapi sekarang selepas sembilan tahun kita lihat terdapat banyak perkembangan baharu, jadi amat penting undang-undang sedia ada dipinda supaya boleh pastikan akta ini dikemaskinikan dengan perkembangan semasa.

“Tidak ada had masa ditetapkan dan kita telah mulakan kajian semula PDPA sejak tahun lepas tetapi ianya masih dalam proses dan saya harap tahun ini kita boleh rangka yang baharu yang boleh kita bawa cadangan pindaan ke Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Impak GDPR EU di Malaysia dan Negara-negara Bukan EU di sini hari ini.

Terdahulu ketika menyampaikan ucaptamanya, Gobind berkata pelaksanaan GDPR EU itu pasti memerlukan perubahan komprehensif kepada amalan-amalan perniagaan oleh syarikat-syarikat yang belum melaksanakan undang-undang privasi yang setara mengenai perlindungan data.

Syarikat-syarikat multinasional dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan yang ada menjalankan urus niaga dengan EU dan warganegara EU, perlu mengambil langkah-langkah wajar untuk mematuhi GDPR, kata beliau.

“Bagi pemain industri pula, terutama pengguna data yang telah membuat persediaan berhubung PDPA, mereka telah bersedia untuk menerima pakai GDPR,” tambah beliau.

Persidangan dua hari itu yang bermula hari ini, dianjurkan oleh GRM Training Sdn Bhd dengan kerjasama Iconic Training Solutions.

Artikel Berkaitan:

Ia memberi kefahaman mengenai keperluan-keperluan GDPR baharu yang luas jangkauannya dan peraturan-peraturan yang relevan kepada perniagaan, di samping tanggungjawab kakitangan untuk melindungi maklumat peribadi. - Bernama