PKRC kes berisiko tinggi dibangun di Hospital Sibu

 - Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dibangunkan di kawasan Hopsital Sibu bagi menangani kes berisiko tinggi di Bahagian Sibu susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 di bahagian itu sejak beberapa hari lepas.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (SDDMC) dalam kenyataan pada Rabu, PKRC berkapasiti 100 katil itu sedia untuk digunakan dalam masa terdekat.

"Bahagian Sibu melaporkan 35 kes Covid-19 semalam. Trend peningkatan ini berlaku semenjak sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari 2022," katanya.

Bagaimanapun, kadar penggunaan katil (BOR) di hospital tersebut untuk kes Covid-19 masih di bawah 20 peratus dengan hanya dua kes yang perlu bantuan oksigen pada masa ini.

Menurut jawatankuasa itu yang bermesyuarat pada Selasa, PKRC sedia ada di Bahagian Sibu masih kosong dan boleh memuatkan seramai 360 pesakit iaitu 200 pesakit di daerah Sibu, Kanowit (100) dan Selangau (60).

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan setakat semalam program vaksinasi dos penggalak Covid-19 untuk orang dewasa di Bahagian Sibu telah mencapai 187,158 dos iaitu 86.47 peratus daripada jumlah orang dewasa yang layak menerimanya.

"Semua golongan dewasa yang belum menerima dos penggalak digalakkan mengambil vaksinasi tersebut secepat mungkin di mana-mana klinik kesihatan di Bahagian Sibu dan juga di beberapa klinik atau hospital swasta yang ditetapkan," kata jawatankuasa itu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk kanak-kanak berumur lima sehingga 11 tahun sudahpun bermula di Bahagian Sibu dengan 920 dos telah diberikan iaitu 620 dos di daerah Sibu, Selangau (200) dan Kanowit (100).

Program itu dijangka melibatkan kira-kira 32,000 kanak-kanak di Bahagian Sibu dan akan dijalankan di sekolah rendah sehingga bulan Mac untuk dos pertama. - Bernama

Artikel Berkaitan: