Bank Rakyat bantu BAM jimat RM100,000 setahun

Zulkiflee Abbas menyerahkan replika kunci bas kepada Mohamad Norza sebagai simbolik penyerahan bas tajaan dari Bank Rakyat kepada BAM.
Zulkiflee Abbas menyerahkan replika kunci bas kepada Mohamad Norza sebagai simbolik penyerahan bas tajaan dari Bank Rakyat kepada BAM.
A
A
A
MASALAH pengangkutan dihadapi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak penubuhannya 54 tahun lalu kini selesai apabila menerima tajaan bas daripada Bank Rakyat menerusi perjanjiaan yang dimetrai.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, tajaan kemudahan itu menjadi kelegaan besar buat pengurusan yang selama ini berdepan masalah kos pengangkutan yang tinggi dalam usaha pembangunan sukan itu.

Menurutnya, dengan sumbangan tajaan bernilai RM250,000 itu BAM mampu menjimatkan kos pengurusan kira-kira RM100,000 setahun bagi aspek kemudahan pengangkutan kepada pemain.

“Dalam setahun kira-kira 100 kali pengangkutan digunakan terutamanya untuk membawa pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil ke Akademi Latihan Badminton di Bukit Kiara. BAM juga berdepan masalah kos pengangkutan pemain ke lapangan terbang untuk ke destinasi pelbagai kejohanan yang disertai. “Jadi dengan adanya tajaan ini, dapat memperkasakan prasarana badminton kebangsaan seiring dengan matlamat BAM melakar kejayaan berbekalkan pengurusan yang efisien dari semua aspek,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bas Tajaan Bank Rakyat di sini, hari ini.

Mohamad Norza berkata, menerusi perjanjian tajaan itu BAM bersedia terlibat secara langsung dalam program CSR yang dianjurkan Bank Rakyat termasuk menyediakan klinik badminton kepada kakitangan dan ahli Kelab Nuri Bank Rakyat bawah 18 tahun.
Artikel Berkaitan:


“Kami bersama pemain serta jurulatih juga bersedia turut serta dalam program dilaksanakan Bank Rakyat sebagai satu bentuk CSR kepada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Zulkiflee Abbas Abdul Hamid berkata, sumbangan bas dengan kapasiti 41 tempat duduk itu mampu menjadi simbol dan identiti baharu kepada BAM.

“Saya percaya tajaan ini akan dapat menyelesaikan masalah pengangkutan yang dihadapi BAM dan ia juga memberi peluang kepada BAM untuk menyumbang kepada masyarakat melalui penyertaan khas barisan permain dan jurulatih dalam program CSR kami,” katanya.