DSA 2022: Aselsan akan pamer 15 aset canggih

Delegasi media Malaysia dibawa melihat sendiri pengoperasian pembuatan aset ketenteraan keluaran syarikat Aselsan di Ankara.
Delegasi media Malaysia dibawa melihat sendiri pengoperasian pembuatan aset ketenteraan keluaran syarikat Aselsan di Ankara.
A
A
A

ANKARA - Syarikat pengeluar terbesar produk elektronik bagi industri pertahanan Turki, Aselsan akan mempamerkan 15 aset ketenteraan berteknologi canggih dan terkini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur pada 28 hingga 31 Mac depan.

Ia bersempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Antarabangsa Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022 yang sepatutnya diadakan tahun lepas namun ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.

Aselsan merupakan kontraktor utama dalam Angkatan Tentera Turki bagi membekalkan produk ketenteraan seperti teknologi komunikasi dan maklumat, radar dan peperangan elektronik, elektro optik, avionik, pertahanan udara dan peluru berpandu serta sistem perubatan.

Pengurus Pemasaran Aselsan Turki, Ozgur Cil berkata, syarikat itu tidak pernah ketinggalan daripada menyertai pameran tersebut sejak tahun 1990-an termasuk Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA).

Menurutnya, Aselsan optimis produk berteknologi itu bakal menarik pelabur dalam industri pertahanan yang berkunjung ke pameran terbabit.

"Ya, kami akan pergi ke Malaysia Mac ini untuk menyertai DSA dan dalam pameran kali ini, kami akan mempamerkan sebanyak 15 produk pertahanan yang canggih serta terkini.

“Antaranya sistem HISAR - O iaitu Sistem Peluru Berpandu Pertahanan Udara Jarak Sederhana dan 30MM SMash Remote Controlled Stabilized Naval Gun System,” kata beliau kepada delegasi media Malaysia di Ibu Pejabat Aselsan di Ankara.

Pada 3 Disember lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein secara rasminya melancarkan penganjuran DSA dan National Security Asia (NATSEC Asia) 2022 di MITEC, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Pameran pertahanan dan keselamatan mulai 28 hingga 31 Mac depan itu akan menghimpunkan pemain utama dalam industri tersebut selain mewujudkan kerjasama strategik dan rangkaian sosial dalam bidang berkenaan.

Menurut Hishamuddin, acara berkenaan buat julung kali bakal dilaksanakan secara hibrid dengan penyertaan lebih 1,170 syarikat sektor pertahanan dan keselamatan seluruh dunia.

Mengulas lanjut Ozgur berkata, setakat ini eksport produk pertahanan Aselsan ke Malaysia termasuk set alat komunikasi ketenteraan mencatatkan nilai pelaburan berjumlah USD$20 juta.

Mengenai sasaran pendapatan dalam DSA pada kali ini, beliau menjelaskan bahawa pihaknya belum memuktamadkan perkara itu.

Dalam lawatan ke ibu pejabat Aselsan, delegasi media turut dibawa melihat sendiri pengoperasian dan pembuatan aset ketenteraan di kilang syarikat berkenaan.