Harga ikan pelaling, sardin naik ketika Tahun Baharu Cina

Ikan pelaling dan sardin antara 'ikan rakyat' yang mengalami peningkatan harga semasa Tahun Baharu Cina minggu lalu. (Gambar kecil: Ramlie, Rahmah, Hanafi, Melati)
Ikan pelaling dan sardin antara 'ikan rakyat' yang mengalami peningkatan harga semasa Tahun Baharu Cina minggu lalu. (Gambar kecil: Ramlie, Rahmah, Hanafi, Melati)
A
A
A

SHAH ALAM - Harga beberapa jenis 'ikan rakyat' seperti ikan sardin dan pelaling masing-masing mengalami peningkatan daripada RM18 sehingga RM20 dan RM21 sekilogram beberapa hari sebelum perayaan Tahun Baharu Cina pada minggu lalu.

Tinjauan Sinar Harian di Pasar Moden Seksyen 6, di sini pada Rabu turut mendapati harga hasil laut lain seperti udang putih turut mengalami kenaikan harga daripada RM30 sekilogram kepada RM35 sekilogram.

Bagaimanapun, para pembeli di sini didapati tidak terkejut dengan peningkatan harga barang-barang mentah berkenaan, malah kurang terkesan dengan kenaikan tersebut.

Salah seorang penjual ikan di Pasar Moden Seksyen 6, Ramlie Ab Rahman berkata, kenaikan harga hasil laut adalah normal terutamanya beberapa hari sebelum perayaan khususnya Tahun Baharu Cina.

Dia yang berniaga di sini sejak 30 tahun lalu berkata, ia berlaku kerana majoriti pembekal hasil laut terdiri daripada bangsa Cina mula menutup kolam ternakan dan tidak turun ke laut untuk mendapatkan hasil berkenaan.

"Kebanyakan pembekal ikan berbangsa Cina, jadi bila perayaan Tahun Baharu Cina, mereka tutup kolam dan tidak turun ke laut untuk menangkap ikan. Jadi kami pun tidak berniaga kerana bekalan yang ada tidak boleh disimpan lama, paling lama pun dua hari dalam bekas berisi ais batu.

"Biasanya pembekal ikan menghentikan operasi sekitar lima hari sahaja, kemudian mereka akan bekalkan ikan kepada kami. Tapi kenaikan harga akan kekal dalam tempoh seminggu," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Penjual lain yang ingin dikenali sebagai Hanafi berkata, ketiadaan stok ikan ketika musim perayaan Tahun Baharu Cina menyebabkan kenaikan harga hasil laut adalah perkara biasa.

Artikel Berkaitan:

Namun pihaknya tidak akan menaikkan harga jualan sesuka hati kerana ia bergantung kepada harga yang ditetapkan oleh pembekal.

"Jika bekalan sampai harga murah, kita jual murah, kalau mahal, kita jual mahal. Kita ikut harga daripada pembekal.

"Kebiasaannya stok ikan memang tiada ketika musim Tahun Baharu Cina terutamanya dua hari sebelum perayaan. Tapi harga akan turun selepas dua hari sambutan perayaan itu," katanya.

Bagi seorang pengusaha kedai makan, Rahmah Othman, 50, kenaikan harga ikan mula disedari sejak hujung minggu lalu sebanyak RM2 hingga RM3 secara purata.

Namun begitu, tidak memberikan kesan teruk kepada perniagaannya berbanding barangan mentah lain seperti daging lembu, kambing, ayam dan telur ayam kerana margin keuntungannya hanya terjejas sebanyak lima peratus.

"Secara amnya, peningkatan harga ikan turut memberi kesan daripada kos perbelanjaan barang mentah. Tapi disebabkan kami sudah menetapkan harga standard untuk hidangan yang kami sajikan, jadi kami masih boleh serap kenaikan tersebut.

"Setakat ini kami tidak mengalami sebarang kerugian, cuma ia memotong kadar keuntungan kami sebanyak lima peratus," katanya yang mempunyai sebuah kafe di Kapar, Klang.

Pengguna lain, Melati Baharudin, 47, turut mengakui terdapat kenaikan harga ikan pelaling daripada RM16 sekilogram kepada RM18, malah pernah mencapai sehingga RM20 sekilogram.

Ujarnya, kenaikan harga ikan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada perbelanjaan keluarga yang mempunyai anak yang ramai.

"Kalau dulu bawa RM100 ke pasar, saya boleh dapat dua hingga tiga jenis lauk. Tapi sekarang hanya boleh dapat dua jenis lauk, jadi agak terkesan juga terutama untuk keluarga yang mempunyai anak yang ramai," katanya mempunyai lima orang anak.