Lonjakan Omicron: Hospital swasta sedia terima pesakit hospital KKM

Dr Kuljit Singh
Dr Kuljit Singh
A
A
A

SHAH ALAM - Hospital swasta sedia menerima pesakit dari hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekiranya terdapat keperluan bagi menangani lonjakan kes varian Omicron.

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr Kuljit Singh berkata, langkah sama telah diambil sebelum ini semasa tempoh kemuncak penularan varian delta di dalam negara.

“Semasa kemuncak varian Delta tahun lepas, 113 hospital swasta menerima pesakit dari 49 hospital KKM.

“Kami yakin untuk meneruskan sokongan kepada kerajaan untuk meringankan beban seperti yang disebut oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya pada 7 Februari 2022.

“Hospital swasta telah dimasukkan dalam Pasukan Petugas Tindak Balas Pantas Covid-19 Kebangsaan (RRTF) untuk memudahkan proses ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada masa sama, Dr Kuljit turut berkata, hospital swasta akan turut membantu melaksanakan pemberian vaksin terhadap kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, beliau berkata, APHM turut menyambut baik cadangan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin agar sempadan negara dibuka sepenuhnya bermula 1 Mac ini.

Katanya, langkah itu membolehkan pelancong perubatan yang menyumbang sebanyak RM1.7 bilion kepada negara pada 2019 untuk pulang ke Malaysia bagi mendapatkan rawatan perubatan yang telah terhenti sejak hampir dua tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Persatuan mempunyai 151 hospital ahli di seluruh negara dengan majoriti daripada mereka merawat pelancong perubatan khususnya dari negara jiran.

"Kami akan hanya menerima pelancong perubatan telah lengkap vaksinasi dengan dos penggalak (sebaik-baiknya) supaya risiko mereka jatuh sakit teruk lebih rendah sekiranya terdapat jangkitan Covid-19 semasa menjalani rawatan,” katanya.

Muhyiddin pada Selasa mengesyorkan supaya sempadan negara dibuka sepenuhnya seawal 1 Mac ini tanpa keperluan kuarantin wajib.

Beliau bagaimanapun berkata, ujian saringan Covid-19 sebelum dan sejurus tiba di pintu sempadan negara masih perlu dilakukan mengikut syor KKM.