Gempa Lombok: Tiada pelajar Malaysia terlibat

A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik mengesahkan tiada pelajar Malaysia terlibat dengan kejadian gempa bumi di Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat, Indonesia yang berlaku semalam.

Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada Education Malaysia Indonesia dan Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, tiada pelajar Malaysia yang berada di Lombok atau Nusa Tenggara Barat.

“Kedudukan pelajar yang terdekat dengan Lombok ialah di Bali iaitu sejauh 172 kilometer.

“Seramai 137 pelajar Malaysia melanjutkan pengajian di Universiti Udaya, Bali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, dua rakyat Malaysia disahkan terkorban, susulan kejadian gempa bumi berukuran 5.8 skala Richter yang mengegarkan Lombok Timur pada jam 2.07 petang waktu tempatan.

Gegaran tersebut mengakibatkan kejadian tanah runtuh di kawasan Air Terjun Tiu Kelep Senaru, Lombok Timur, di mana ketika itu 40 pengunjung termasuk 22 rakyat Malaysia sedang beriadah di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, pihak kedutaan dan Education Malaysia Indonesia akan melakukan pemantauan berterusan susulan insiden tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia