Banjir Sabah: Dua PPS di Pitas ditutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua pusat pemindahan sementara (PPS) di Pitas ditutup petang Selasa dengan jumlah mangsa banjir di daerah itu berkurangan kepada 583 orang daripada 190 keluarga, berbanding 719 mangsa daripada 236 keluarga pagi Selasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua PPS yang ditutup itu ialah Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II dan Dewan SK Rukom, dengan mangsa banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Dua PPS yang masih dibuka ialah Dewan Kampung Sinukab yang menempatkan 510 mangsa daripada 170 keluarga dan Dewan Kampung Kusilad dengan 73 mangsa daripada 20 keluarga.

"Situasi semasa banjir pada tengah hari tadi semakin pulih, dengan hanya empat kampung yang masih dinaiki air iaitu Kampung Kusilad, Kampung Kanibongan, Kampung Boribi dan Kampung Untang-Untang/Mulung Kulung,” menurut kenyataan itu.

Cuaca pada petang dengan hujan renyai di sesetengah tempat di pantai barat Sabah antaranya Sipitang, Kuala Penyu, Tenom dan Keningau, manakala mendung di Papar dan Kota Kinabalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: