Perancangan peralihan ke fasa endemik selesai

 Hishammuddin
Hishammuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat menteri kuartet Covid-19 telah menyelesaikan perancangan berkaitan peralihan negara ke fasa endemik.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tarikh pelaksanaan peralihan tersebut bagaimanapun bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 (JKKPP) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Katanya, meskipun kerajaan menyedari ramai pihak mula bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 susulan penularan varian Omicron, kerajaan tidak akan berganjak daripada perancangan untuk melangkah ke fasa seterusnya.

"Seperti yang dapat dilihat daripada laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, biarpun jumlah kes harian terus meningkat, namun jumlah dirawat di wad dan Unit Rawatan Rapi adalah rendah.

"Ini menunjukkan sistem kesihatan negara berada dalam keadaan terkawal, selari dengan kenyataan Menteri Kesihatan semalam," katanya ketika sidang media khas sempena mesyuarat ke-12 menteri Covid-19 di Kementerian Pertahanan, pada Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan juga telah memberi jaminan beberapa kali bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara besar-besaran di seluruh negara tidak akan dilaksanakan semula.

"Sekiranya berlaku peningkatan kes di sesuatu kawasan, hanya PKPD akan dikuatkuasakan.

"Ekonomi perlu terus bergerak. Sistem pendidikan perlu terus berjalan. Pekerjaan rakyat perlu terus terlaksana.

Artikel Berkaitan:

"Berpatah balik kepada pelbagai sekatan seperti sebelum ini bukan lagi keputusan yang baik," ujarnya.