Lelaki maut, tak sempat hadir program syarikat

Gambar kenderaan mangsa yang remuk akibat kemalangan terbabit tular dalam media sosial sejak petang semalam.
Gambar kenderaan mangsa yang remuk akibat kemalangan terbabit tular dalam media sosial sejak petang semalam.
A
A
A

SAUJANA UTAMA – Hasrat dua pekerja restoran makanan segera untuk menghadiri program syarikat tidak kesampaian apabila seorang maut dalam kemalangan di Jalan Persiaran Mokhtar Dahari, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3.40 petang, Muhammad Rejab Lokman, 25, maut di tempat kejadian manakala rakan sekerjanya yang berusia 21 tahun dilaporkan cedera parah, masih menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, kereta dinaiki kedua mangsa dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar bahagian belakang sebuah kereta jenis Proton Persona dipandu seorang warga emas.

"Perodua Myvi yang dipandu Muhammad Rejab seterusnya merempuh sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan sehingga mengakibatkan pacuan empat roda tersebut berpusing.

“Akibat rempuhan itu, Toyota Hilux yang berpusing itu kemudiannya dirempuh pula oleh sebuah lagi kereta jenis Perodua Alza dari arah belakang yang ketika itu gagal mengelak," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan Muhammad Rejab tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum di bawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

"Pemandu Toyota Hilux pula mengalami kecederaan ringan di tangan serta terseliuh kaki kiri namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan daripada pemandu lain yang terlibat.

"Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran untuk membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan: