Hanya 12 peratus daftar PICKids di Terengganu

Dr Alias (dua dari kiri) melihat seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Rawatan Harian HSNZ, pada Selasa.
Dr Alias (dua dari kiri) melihat seorang kanak-kanak menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Rawatan Harian HSNZ, pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Hanya 12 peratus atau 21,901 orang dari 124,206 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang layak menerima vaksin Covid-19 di Terengganu sudah mendaftar melalui MySejahtera bagi mendapatkan suntikan vaksin.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, jumlah itu masih rendah berbanding sasaran ditetapkan.

Justeru beliau berharap ibu bapa dapat mendaftarkan anak masing-masing bagi melindungi mereka dari Covid-19.

"Objektif pemberian vaksin kepada kanak-kanak bagi melindungi daripada mortaliti dan morbiditi akibat jangkitan Covid-19, membolehkan mereka menjalani aktiviti harian dengan lebih selamat, terutama aktiviti di luar rumah dan tempat belajar.

"Selain itu, ia juga bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan kepada kanak-kanak lain yang tidak layak menerima vaksin Covid-19," katanya selepas hadir ke Majlis Pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) Peringkat Negeri Terengganu di Kompleks Rawatan Harian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), sini pada Selasa.

Hadir sama Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong.

Pada majlis itu, seramai 20 kanak-kanak menjadi kumpulan pertama di Terengganu menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut Dr Alias, sebanyak 141 pusat pemberian vaksin (PPV) akan dibuka di seluruh Terengganu bagi menjayakan PICKids dengan sasaran 80 peratus kanak-kanak yang layak akan menerima vaksin Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan 64 PPV sekolah, 39 PPV klinik swasta, 24 PPV klinik kesihatan, lapan PPV 'off site' dan enam PPV hospital kerajaan di setiap daerah.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dalam melaksanakan PPV di sekolah dengan sasaran seramai 110,000 kanak-kanak akan menerima vaksin di sana.

"Kita juga mengenalpasti seramai 7,200 kanak-kanak tergolong dalam kumpulan komobid dan berisiko tinggi dan mereka perlu mengambil vaksin di PPV hospital bagi memudahkan pemantauan dibuat," katanya.

Jelas Dr Alias, pemberian vaksin kepada kanak-kanak dapat mengurangkan kemungkinan mereka untuk mendapat jangkitan serius atau mengalami komplikasi jangka panjang akibat Covid-19.

"Oleh itu saya harap semua ibu bapa yang mempunyai anak berumur 5 hingga 11 tahun dapat membenarkan anak mereka diberi suntikan vaksin Covid-19 sama ada melalui PPV sekolah atau mendaftar melalui MySejahtera," katanya.