Sungai tercemar: Sultan Selangor arah ketat penguatkuasaan terhadap pelaku

Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin Idris Shah - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor diarahkan untuk melaksanakan penguatkuasaan yang lebih serius terhadap pihak yang melepaskan sisa-sisa buangan ke sungai.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah demikian selepas dimaklumkan berhubung lima sungai di negeri ini yang tercemar dengan bahan buangan dari sisa pepejal dan sisa toksik.

Baginda bertitah, sekiranya terdapat keperluan, undang-undang hendaklah dibuat untuk mengenakan hukuman yang berat kepada pesalah-pesalah yang mencemarkan sungai-sungai di Selangor.

"Pendidikan kepada masyarakat perlu ditambah lagi dengan mengadakan kempen-kempen yang memberi kesedaran agar menjaga kebersihan sungai-sungai yang menjadi salah satu sumber air di negeri ini," titahnya pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor yang ke-14 hari ini.

Turut hadir mencemar duli pada majlis, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin bertitah, masyarakat dunia juga kini berdepan dengan dua cabaran utama iaitu isu perubahan iklim dan pemanasan global yang mana kedua-duanya harus ditangani secara kolektif dan efektif.

"Lebih membimbangkan, kesan perubahan iklim global yang tidak terkawal juga boleh mengundang kejadian bencana alam seperti kebakaran hutan, ribut taufan dan hujan lebat yang tidak boleh diramal sehingga menyumbang kepada berlakunya banjir besar dan sebagainya.

"Perkara itu akan memberi kesan ke atas ekosistem dan memberi ancaman kepada rakyat, ekonomi dan pembangunan di negeri ini, "titahnya.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin bertitah, bagi tujuan tersebut, baginda difahamkan kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

Titahnya, kesan perubahan iklim serta pemanasan bumi harus diperkukuh dengan memberi fokus kepada pelaksanaan tanam pokok dalam bandar serta pengindahan lanskap di sekitar bandar-bandar utama dalam Selangor.

Baginda bertitah, bagi pemuliharaan alam sekitar ke atas bekas tapak pelupusan sisa pepejal pula sebanyak RM3.15 juta diperuntukkan.

"Beta menitahkan agar kawasan-kawasan tadahan air dan hutan-hutan simpan di Selangor ini dikekalkan dan dipelihara dengan baik supaya sumber air di negeri ini mencukupi dan tidak terjejas pada masa akan datang.

"Usaha-usaha mengekalkan hutan simpan serta keindahan flora dan fauna semulajadi di hutan juga hendaklah dilakukan,"titahnya agar kerajaan negeri memastikan tiada aktiviti pembalakan berlaku di hutan-hutan simpan dan kawasan tadahan air ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, pembangunan bercirikan teknologi hijau dan mesra alam semulajadi harus diutamakan di Selangor.

Titahnya, lebih banyak bangunan-bangunan seperti pejabat, kompleks membeli belah, sekolah dan rumah kediaman perlu direka bentuk dengan ciri bangunan hijau dan memperbanyakkan elemen semulajadi seperti tumbuh-tumbuhan yang ditanam dalam dan luar bangunan.