PDRM lumpuhkan kegiatan kumpulan pengganas

Suspek ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.
Suspek ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengganas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan kegiatan kumpulan pengganas yang dianggotai warga Filipina dan tempatan dalam serbuan di Semporna dan Tambunan, Sabah.

Operasi pada 11 dan 12 Mac ini dilaksanakan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Unit 69 Komando PDRM.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, tangkapan membabitkan 13 suspek yang terdiri daripada 12 warga Filipina dan seorang warga tempatan disyaki terlibat dalam kumpulan pengganas termasuklah memberi perlindungan kepada pengganas asing yang bersembunyi di Sabah.

No Image Caption

Menurutnya, kesemua ditangkap disyaki menganggotai kumpulan Abu Sayyaf Group (ASG), kumpulan Maute atau Royal Sulu Force (RSF).

"Tangkapan pertama pada 11 Mac di Semporna, seramai enam lelaki termasuk seorang warga tempatan berusia 40 hingga 60 tahun diberkas.

"Siasatan mengesyaki empat daripada mereka terlibat dalam pertempuran bersama-sama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina pada tahun 2017. Malah turut terlibat memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas Maute serta beberapa warga Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Dua lagi suspek juga disyaki merupakan anggota kumpulan RSF yang terlibat dalam insiden serangan di Lahad Datu dan Semporna pada tahun 2013 selain terlibat merekrut anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek ini telah melarikan diri ke Selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF. Namun, pada November 2018, kedua-dua mereka ini telah menyusup masuk ke Semporna untuk mengaktifkan kembali aktiviti kumpulan tersebut di Sabah.

Mengulas lanjut, serbuan kedua di Tambunan melibatkan lima lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia 23 hingga 63 tahun.

No Image Caption

Katanya, siasatan mendapati seorang daripada suspek yang ditangkap merupakan pekerja buruh binaan disyaki anggota kumpulan pengganas ASG yang pernah terlibat di dalam serangan di Bandar Marawi, Filipina.

"Suspek menyusup masuk ke Sabah pada Disember tahun lalu bersama anggota kumpulan terbabit bagi mengelak daripada operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.

"Sementara itu, lima lagi suspek ditangkap kerana terlibat dalam memberi perlindungan kepada elemen pengganas ASG dan kumpulan Maute yang masih bebas," katanya.

Mohamad Fuzi berkata, tangkapan pada 12 Mac pula melibatkan seorang lelaki Filipina berusia 39 tahun yang juga merupakan pekerja buruh binaan kerana memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas ASG dan kumpulan Maute yang masih bebas.

"Dengan tangkapan ini, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki kumpulan pengganas yang bersembunyi di dalam negara khususnya di Sabah," katanya.

Kesemua yang ditangkap disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

No Image Caption