Sila log masuk terlebih dahulu.

Sarawak lancar pelan tindakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030

Reaksi Abang Johari (dua, kiri) sejurus selepas melancarkan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan bagi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Isnin. - Foto Bernama
Reaksi Abang Johari (dua, kiri) sejurus selepas melancarkan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan bagi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Komuniti di Sarawak akan menikmati pembangunan yang pesat dalam tempoh 18 tahun akan datang selaras dengan pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030), dengan penduduknya menikmati kemakmuran ekonomi yang dipacu oleh data dan inovasi.

Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, beliau yakin dengan kejayaan strategi itu berdasarkan pengenalan Pelan Tindakan dan Pelaksanaan (AIP) PCDS 2030 yang meletakkan dengan jelas langkah serta tindakan yang perlu diambil untuk mencapai pembangunan baharu itu.

"Kita sedang memacu pembangunan infrastruktur kita untuk meningkatkan taraf hidup, mengembangkan ekonomi bagi menyediakan peluang perniagaan dan pekerjaan serta melatih warga kita untuk menjadi lebih mahir dan meningkatkan tahap pendapatan,” katanya ketika berucap melancarkan AIP PCDS 2030 di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 Sarawak memperuntukkan RM63 bilion untuk melaksanakan inisiatif berjiwa rakyat itu di bawah fasa pertama PCDS 2030.

"Sehubungan itu, kita perlu mempunyai pelan pelaksanaan yang cekap supaya kita boleh melaksanakan projek-projek ini berdasarkan kepada pembiayaan, masa dan spesifikasi. Banyak projek tertangguh disebabkan oleh pengurusan projek yang lemah, dan menghalang rakyat daripada menikmati projek-projek yang memang dikhususkan buat mereka,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau juga telah menyusun semula Kabinet Negeri selepas Pilihan Raya Negeri Ke-12, baru-baru ini untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam tempoh mencabar ini, bagi memenuhi harapan tinggi rakyat, serta kekal fokus untuk mencapai objektif PCDS 2030.

Sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak (SEAC), beliau berkata, majlis itu akan memberi penekanan kepada pembangunan model perniagaan yang akan memberi tumpuan kepada memanfaatkan nilai sumber asli negeri.

"Pembangunan industri akan dirancang berdasarkan peluang-peluang industri huluannya serta pengeluaran industri pertengahan dan hiliran serta keupayaan eksport. Justeru kami menjemput pemain dan konglomerat sektor swasta untuk bekerjasama dengan kami bagi membuka peluang-peluang sedemikian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan sektor swasta yang kukuh untuk memanfaatkan potensi pasaran karbon, termasuk pembayaran untuk perkhidmatan ekosistem dalam kerangka kerja undang-undang bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

"Sasaran potensi perdagangan karbon adalah kira-kira RM140 hingga RM230 juta berdasarkan purata harga semasa karbon. Ini adalah inisiatif yang boleh dilaksanakan serta-merta yang mewakili hanya 10 peratus daripada sektor perhutanan di bawah inisiatif Ekonomi Hijau di Sarawak.” dia menambah. - Bernama